Majlis Peguam Malaysia mempertikaikan tindakan Jabatan Imigrasen menangkap dan menghantar pulang peguam hak asasi manusia Perancis, William Bourdon baru-baru ini.
Presidennya, Lim Chee Wee dalam satu kenyataan medianya berkata, alasan jabatan itu kononnya peguam itu melanggar peraturan lawatannya ke Malaysia tidak boleh diterima dan tidak mencukupi.
Beliau mengulas tindakan pegawai Jabatan Imigrasen yang menaiki pesawat yang membawa Bourdon dari Pulau Pinang di KLIA Jumaat lepas dan mengiringinya ke pajabat jabatan itu.
Ketika itu, Bourdon bersama pengiringnya iaitu seorang pegawai Suara Rakyat Malaysia (Suaram), Cythia Gibrel, dan isterinya dalam perjalanan dari Pulau Pinang ke Kuala Lumpur selepas memberikan ucapannya dalam satu majlis di sana.
Bourdon dijadualkan memberikan ucapan di majlis kutipan dana untuk membiayai tindakan Suaram yang membuka satu kes penyiasatan ekoran dakwaan rasuah dalam pembelian kapal selam Scorpene di Mahkamah Perancis.
Bourdon adalah salah seorang peguam yang mewakili Suaram. Beliau dijadual berucap di Dewan Sivik MPPJ dan Ipoh keesokan harinya.
Tindakan kerajaan ini, kata Lim Chee Wee, menyebabkan rakyat membuat kesimpulan bahawa ia dilakukan ekoran ucapannya di Pulau Pinang sebelum itu, berkaitan dengan dakwaan rasuah dalam pembelian kapal selam dari syarikat Perancis.
"Majlis Peguam Malaysia menuntut kerajaan Malaysia memberikan alasan yang munasabah secara terbuka ekoran tindakan menghantar pulang peguam Perancis itu untuk menghilangkan keraguan terhadap kes penangkapan dan penghantaran pulang ini.
"Kejadian ini memberikan satu lagi kesan negatif kepada nama Malaysia dalam hak asasi manusia yang melibatkan rakyat asing," kata Lim Chee Wee lagi.
-
0 comments