
Datuk Seri Ir Haji Mohamad Nizar Jamaluddin yang kehilangan jawatan Menteri Besar Perak setahun lalu ekoran karenah politik UBN menyifatkan negeri itu sebagai “lebih kartun dari kartun.”
MB hanya boleh dilucutkan jawatannya melalui pembubaran Dewan Undangan Negeri, undi tidak percaya ataupun MB sendiri meletakkan jawatan, kata beliau.
Haji Mohamad Nizar berkata Perak kini mempunyai dua surat pentauliahan MB, sebab walaupun telah digugurkan namun surat tauliah beliau sebagai MB belum ditamatkan lagi.
“Tidak dibatalkan lagi. Sepatutnya tauliah tersebut dibatalkan dahulu sebelum buat pelantikan yang baru,” katanya semasa berceramah Machang, Kelantan.
Nizar yakin UBN akan berdepan dengan penghakiman rakyat pada PRU 13 kerana rakyat telahpun matang, katanya disambut laungan Allah Akhbar. Hampir 6,000 orang menghadiri ceramah berkenaan.
Apabila Mahkamah menafsirkan Perlembagaan seperti menafsirkan surat wasiat (a will), Perlembagaan akan mati. Pada 5/2/2010 yang lalu Perlembagaan Perak boleh dikatakan telah disytiharkan mati apabila 5 orang Hakim Mahkamah Persekutuan menafsirkan Perlembagaan Perak seperti menafsirkan surat wasiat.
Sebagai peguam kepada Nizar yang ada di Mahkamah pada hari itu dan mendengar Hakim membaca keputusan kes Nizar v Zambry ianya sama seperti mana Abdul Wahub mendengar peguam Abdul Wahab dan Abdul Wahib membaca wasiat bapa mereka Ismet Ulam Raja di dalam filem Tiga Abdul arahan Tan Sri P.Ramlee. Abdul Wahib dan Abdul Wahib tanpa segan silu menipu dan membuli Abdul Wahub dengan berselindung di atas kalimah demokrasi terpimpin.
Di dalam penghakimannya Mahkamah Persekutuan menolak hujah peguam Nzar tentang keperluan undi tidak percaya dibuat di dalam sidang DUN Perak bagi menentukan sama ada Nizar benar-benar kehilangan kepercayaan ahli-ahli DUN. Alasan Mahkamah menolak hujah itu amat lucu sekali. Alasannya adalah tiada dinyatakan di dalam Artikel 16 (6) Perlembagaan Perak bahawa kehilangan kepercayaan ke atas MB mesti dibuat melalui undi tidak percaya.
Jawapan mudah kepada alasan itu adalah jika perkataan undi tidak percaya ada di dalam Artikel 16 (6) itu tidak perlulah Nizar pergi ke Mahkamah untuk meminta Mahkamah menafsirkan Perkara 16 (6) itu ?
Ya, benar memang tiada di dalam Perkara 16 ( 6 ) Perlembagaan Perak frasa yang menyatakan bahawa kehilangan kepercayaan ke atas MB dibuat mesti dibuat melalui undi tidak percaya di dalam sidang DUN. Tapi bukankah dalam Perlembagaan banyak perkara lain yang juga tidak dinyatakan secara spesifik. Sebagai contoh wujudkah di dalam Perlembagaan Persekutuan mana-mana peruntukkan mengenai jawatan Timbalan Perdana Menteri ( TPM ) ? Jawabnya tidak ada .
Kalau menggunakan logik Mahkamah Persekutuan jawatan yang disandang oleh Muhyiddin sekarang adalah tidak menepati Perlembagaan Persekutuan. Tetapi mengapakah Najib masih melantik Muhyiddin sebagai TPM –jawatan yang tidak wujud dalam Perlembagaan.
Mari kita lihat perkara lain yang juga tidak dinyatakan di dalam Perlembagaan tetapi diamalkan selama ini di negara ini. Kewujudan pelbagai jawatankuasa di dalam Parlimen dan Kabinet juga tidak dinyatakan di dalam Perlembagaan. Peruntukkan masa di dalam sidang Parlimen bagi ahli-ahli Parlimen khususnya pembangkang untuk bertanya soalan kepada Perdana Menteri dan Menteri-Menteri juga tidak ada di dalam Perlembagaan.
Persoalannya mengapakah dalam keadaan ketiadaan peruntukan khusus tentang perkara –perkara yang saya nyatakan tersebut , negara ini masih mengamalkan dan melaksanakan perkara-perkara tersebut ?
Jawapannya adalah “constitutional convention” ( amalan Perlembagaan ). Amalan Perlembagaan, menurut Sir Ivor Jennings adalah satu daripada sumber Perlembagaan. Amalan Perlembagaan , kata Ivor Jennings adalah “ the flesh which clothe the dry bones of the law” ( adalah daging yang menutupi tulang-tulang kering undang-undang ). Ia adalah sepertimana kata sarjana Perlembagaan “ peraturan yang bukan legal ( sah ) bagi menjadikan peraturan yang sah berfungsi.” ( “ the non legal rules which make the legal rules work.” ). Secara mudahnya amalan Perlembagan adalah menambah apa yang kurang di dalam Perlembagaan.
Jika Mahkamah Persekutuan menolak hujah Nizar bahawa tidak perlu ada undi tidak percaya di dalam sidang DUN bagi menentukan sama ada Nizar masih mendapat kepercayaan di atas alasan peruntukkan mengenai undi tidak percaya tidak ada di dalam Perkara 16 ( 6 ) Perlembagaan Perak maka hujah yang sama juga kita boleh gunakan bahawa tidak ada juga dinyatakan di dalam Perkara 16 ( 6 ) bahawa cara menentukan Nizar hilang kepercayaan perlu dibuat di dalam Istana dengan kehadiran Najib ( yang bukan ADUN Perak ) tanpa kehadiran Nizar sebagai MB yang masih sah ketika itu. Bukankah Perlembagaan Perak menyatakan segala tindakan Sultan adalah atas nasihat seorang MB iaitu pada ketika itu nasihat Nizar wajar diambil terlebih dahulu.kerana beliau masih MB yang sah.
Dalam keadaan kedua-dua cara tidak dinyatakan di dalam Perlembagaan (sama ada undi tidak percaya dalam DUN atau dibuat di luar DUN seperti di Istana) Mahkamah seharusnya melihat kepada amalan Perlembagaan. Sudah tentu amalan Perlembagaan yang boleh dikatakan diterima pakai di dalam semua negara di dunia ini adalah kaedah untuk menentukan seorang MB sudah hilang kepercayaan adalah dengan melalui undi tidak percaya di dalam DUN. Cara tersebut lebih bertamadun dan demokratik.
Satu lagi perkara lucu yang Mahkamah Persekutuan lakukan adalah apabila ia menerima pakai apa yang dikatakan oleh Y.M Raja Azlan Shah J. ( pada masa itu ) di dalam kes Loh Koi Choon v Kerajaan Malaysia bahawa di dalam menafsirkan Perlembagaan Mahkamah tidak perlu melihat atau terikat kepada kes-kes di negara lain seperti kes di India .
Tapi dalam masa yang sama Mahkamah Persekutuan telah merujuk dan menerima pakai satu kes di India iaitu kes Mahabir Chandra Prasad Sharma, petitioner v Prafulla Chandra Ghose and others, Respondents AIR 1960 Cal. 198 bagi menyokong penghakimannya bahawa seorang Gabenor ada kuasa memecat Ketua Menteri.
Yang lucunya bagaimanakah Mahkamah Persekutuan boleh dengan secara cuai mengguna pakai kes India tersebut untuk menyokong hujah bahawa Sultan juga boleh memecat Nizar jika Nizar enggan meletakkan jawatan
Tidakkah Mahkamah sedar bahawa di dalam Perlembagaan India ada peruntukkan yang jelas dan terang bahawa jika seorang Ketua Menteri enggan letak jawatan setelah diarahkan oleh Gabenor, Gabenor mempunyai kuasa untuk memecat Ketua Menteri. Wahai para hakim yang digelar orang bijaksana tunjukkan di dalam Artikel 16 ( 6 ) Perlembagaan Perak peruntukkan yang menyatakan bahawa Sultan ada kuasa memecat Nizar jika Nizar enggan letak jawatan ?
Kalau tidak ada bagaimanakah kamu boleh menggunakan analogi dengan kes di India yang secara jelas mempunyai peruntukkan yang berbeza.
Kalau inilah standard Mahkamah Persekutuan bagaimanakah rakyat boleh menghormati keputusan tersebut ? Masa akan menentukan bagaimana generasi akan datang akan pasti memandang jijik keputusan Mahkamah Persekutuan sepertimana generasi sekarang sedang mula melakukannya
Kes Perak menunjukkan bahawa betapa mudahnya sebuah Kerajaan boleh jatuh tanpa melalui proses yang berlaku di dalam sidang DUN. Di mana Kerajaan itu jatuh bergantung di mana ahli poltik itu bertemu Sultan. Jika dia bertemu Sultan di Istana, Kerajaan itu boleh jatuh di Istana. Jika ia bertemu Sultan di wad hospital di wad hospital itulah kerajaan itu akan jatuh. Begitulah kesan keputusan Mahkamah Persekutuan .
Hari ini Kerajaan Nizar jatuh di istana apabila Najib berjumpa Sultan di Istana . Siapa tahu akan datang Kerajaan Najib pula akan jatuh di padang golf jika ditakdirkan Anwar Ibrahim atau Ustaz Abdul Hadi Awang berjumpa Yang DiPertuan Agung di atas padang golf. Ketika itu Najib hanya boleh perhatikan kerajaannya bergolek sepertimana bergoleknya bola golf masuk ke dalam lubang !

Dato Seri Ir Haji Mohammad Nizar Jamaluddin menggesa kerajaan agar segera menyediakan kemudahan bekalan air dan elektrik kepada para penduduk Pulau Pasir Hitam, yang terletak dalam daerah Taiping.
Dalam lawatannya ke pulau itu yang dihuni kira-kira 160 orang penduduk, beliau kesal kerana penduduk di Pulau itu terpaksa bergantung hidup pada bekalan air hujan dan jentera janakuasa elektrik.
Ahli Parlimen Bukit Gantang itu meluangkan masa kira-kira dua jam di atas pulau itu yang sekadar mempunyai kemudahan sebuah sekolah rendah jenis kebangsaan, balai polis dan pusat kesihatan kecil.
Beliau menaiki bot nelayan selama kira-kira 45 minit untuk sampai ke pulau berkenaan. Pulau berkenaan di huni oleh para nelayan dan selubungi hutan bakau.

Datuk Seri Ir Haji Mohammad Nizar Jamaluddin masih berpengaruh dan menjadi pilihan rakyat memandangkan beliau adalah pilihan rakyat, kata Presiden Pas Datuk Seri Abdul Hadi Awang.
Beliau berkata Haji Mohammad Nizar masih lagi kukuh pengaruhnya memandangkan beliau diundi oleh rakyat dan dipilih oleh pemimpin Pakatan Rakyat (PR) lain pada pru12 lepas.
”Namun Pas meminta seluruh rakyat Perak yang cintakan keamanan dan keadilan supaya bertenang dan mengelakkan diri daripada terbabit dalam sebarang provokasi.
"Kepimpinan Pas akan berbincang dalam masa terdekat untuk mengambil langkah strategik yang perlu dalam menghadapi suasana ini,” katanya.
Menurutnya, keputusan mahkamah persekutuan yang menafikan hak Haji Mohammad Nizar sebabagi MB yang sah tidak sepatutnya melemahkan semangat juang dalam usaha mendapatkan keadilan sebenar.
”Teruskanlah gerak kerja jentera parti di seluruh Perak dan negara dan bangkitlah dengan semangat baru yang membara untuk meneruskan cita-cita perjuangan Pas selama ini,” katanya.
Tengku Razaleigh Hamzah menegaskan DS Ir Haji Mohammad Nizar Jamaluddin masih lagi menjadi Menteri Besar Perak sehinggalah beliau meletakkan jawatan atas kerelaannya sendiri, atau disingkirkan melalui usul undi tidak percaya pada persidangan Dewan Undanan Negeri Perak.
“Usul pada Dun sahaja yang boleh menyingkirkan Nizar daripada jawatan itu, selain itu tak kiralah berapa banyak majlis angkat sumpah, lompat-melompat, sidang akhbar dan perisytiharan, atau apa jua iklan, paparan, sogokan atau tindakan dibuat ke atas persoalan ini tidak terpakai,” katanya.
“Perlembagaan tiada memperuntukkan kuasa untuk menyingkirkan Nizar dengan apa cara sekalipun, termasuk petisyen atau arahan daripada sesiapa juapun.”
Beliau juga berkata, sebuah kerajaan yang sah daripada segi perlembagaan adalah yang diberi mandat oleh rakyat dan hanya mandat itu yang menentukannya. Mandat rakyat kerana kerajaan yang ditubuhkan adalah berasaskan perlembagaan, yang mana ia dipilih melalui pilihan raya yang adil dan saksama.
“Untuk menguji mandat berkenaan maka kerajaan yang memerintah, mesti sama ada menyerahkan kembali kepada rakyat untuk menentukannya melalui pilihan raya negeri ataupun melalui usul undi tidak percaya pada persidangan dewan undangan negeri,’ kata Tengku Razaleigh.
Beliau berkata, untuk menyingkirkan dan menubuhkan kerajaan baru dengan kaedah ataupun cara selain itu adalah bererti melanggar Perlembagaan, melanggari undang-undang dan risiko menubuhkan sebuah kerajaan haram.
Rakyat Perak yang mengundi dan memberi kepercayaan kepada Pakatan Rakyat amat kecewa dengan keputusan Mahkamah Persekutuan, yang menafikan kedudukan Ds Ir Haji Mohammad Nizar Jamaluddin sebagai Menteri Besar Perak yang sah.
Pada PRU12 , rakyat Perak memberi mandat kepada Pakatan Rakyat untuk memerintah Perak, bukan kepada UBN. Namun tindakan tiga ADUN Pakatan Rakyat melompat keluar dan mendakwa menjadi anggota bebas menyebabkan kedudukan kerusi dalam DUN menjadi UBN 28 dan PR 28 kerusi.
Bagaimanapun tiga anggota Dun bebas itu menyatakan sokongan kepada UBN. Sikap dan tindakan ini ternyata menafikan hak rakyat yang memberi sokongan majoriti kepada PR bukan kepada UBN pada PRU12.
Rakyat Perak amat kecewa dengan keputusan mahkamah itu, kata Timbalan Pengerusi DAP Dr Tan Seng Giaw.
"Ramai yang kecewa dengan keputusan hari ini. Mereka berharap sistem perundangan di negara ini dapat memberi keputusan yang sebaliknya kerana kes ini tertangguh agak lama," katanya.
"Cara terbaik untuk selesaikan masalah ini adalah dengan membubarkan DUN Perak. Biar rakyat buat keputusan dan pilih siapa pemimpin yang layak menjadi pemerintah," kata beliau.
Naib Presiden PAS, Salahuddin Ayob pula berkata, PR tidak akan berputus asa dengan keputusan Mahkamah itu malahan akan bekerja lebih keras untuk menawan Perak pada PRU13.
"Kita sudah jangka keputusan tidak akan berpihak kepada Nizar sejak awal lagi.
"Berdasarkan rekod kes-kes besar sebelum ini, keputusan mahkamah memang tidak memihak kepada PR. Sebab itu kita tidak kecewa dengan keputusan hari ini,” katanya,
"Apa yang berlaku di Perak akan menguatkan lagi sokongan rakyat kepada pembangkang. Rakyat akan bersimpati terhadap apa yang berlaku pada Nizar. PR perlu terus berusaha dan kekalkan sokongan yang sedia ada bagi memastikan kemenangan mutlak di Perak pada PRU13," katanya.
Presiden Mahkamah Rayuan Tan Sri Alaudin Mohd Sheriff mengumumkan DS Dr Zambry Abdul Kadir sebagai MB Perak yang sah. Rayuan DS Ir Haji Mohammad Nizar Jamaluddin ditolak sebulat suara oleh panel lima hakim Mahkamah Persekutuan Putrajaya.
Ketua Hakim Malaya Tan Sri Ariffin Zakaria masih membaca keputusan Mahkamah. Beliau sudah membacanya lebih 30 minit.
Kelihatan penyokong Pakatan Rakyat kini kelihatan melebihi penyokong UBN.
DS Dr Zambry tidak kelihatan dalam ruang mahkamah, namun beliau dilaporkan menghadiri mesyuarat Majlis Raja-Raja yang berlangsung hari ini.
Hakim Besar Malaya, iaitu antara anggota lima panel hakim yang mengadili kes menentukan MB Perak yang sah, Tan Sri Ariffin Zakaria memulakan persidangan Mahkamah Persekutuan pada kira-kira jam 1015. Beliau sedang membaca keputusan Mahkamah.
Sebelum itu, lima panel hakim Mahkamah Persekutuan mula mengambil tempat untuk bersidang jam 1000.
Peguam kedua-dua pihak juga diperkenalkan iaitu bagi pihak Haji Mohamad Nizar ialah, Cah Kok Leong, Nga Hok Chey, Ranjit Sigh, Razlan, Boon Tai Su, Amir Hamzah, Liang Chit King, Joi Leong, Chiang Lek Choi dan Hanifa Maidin dan Zulkarnain.
Manakala bagi UBN pula ialah, Cecil Ibrahim, Tan Sri Ghani Patail, Tun Abdul Majid, Dato' Kamaruddin, Hajah Azizah, Manjit Singh, Suzana Tan dan Andy Razali Jaya.
Mahkamah Persekutuan Putrajaya setakat ini (JAM 9.55 PAGI) belum mula bersidang untuk mengumumkan keputusan berhubung dengan rayuan Datuk Seri Ir Haji Mohammad Nizar Jamaluddin mengenai kedudukan Menteri Besar Perak yang sah.
Kira-kira setengah jam tadi kelihatan, Haji Mohammad Nizar masuk ke dalam mahkamah diiringi isteri Datin Fatimaah dan seorang anak lelaki beliau. Terdapat sekurang-kurang lapan wakil rakyat Pakatan memasuki ruang bicara mahkamah.
Antaranya ialah Lim Kit Siang. Datuk Ngeh Koo Ham, Khalil Idham Lim (Adun Titi Serong) , Lim Boon Chye berada dalam mahkamah. Terdapat juga Adun BN dan penyokong di sebahagian ruang disediakan..
Peguam Negara Tan Sri Ghani Patail juga kelihatan masuk ke kamar mahkamah, di samping Pegaum Haji Mohamad Nizar, Hanipa Maidin pada kira-kira jam 9.32 pagi tadi.
Di luar perkarangan mahkamah kelihatan sekumpulan penyokong Dr Zambry berkemeja T kuning. Kawalan tersangat ketat untuk memasuki ruang mahkamah.
Berikut kronologi krisis politik di Perak itu.
1 Feb 2009:
Speaker DUN Perak, V. Sivakumar menerima surat peletakan jawatan ADUN Behrang Jamaluddin Mat Radzi dan ADUN Changkat Jering, Mohd Osman Jailu. Kedua-dua ADUN PKR nafi meletakkan jawatan.
3 Feb 2009:
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) memutuskan bahawa tidak berlaku kekosongan kerusi DUN Changkat Jering dan DUN Behrang serta tidak perlu mengadakan PRK bagi kawasan itu.
4 Feb 2009:
DS Najib Tun Abdul Razak (ketika itu TPM) mengumumkan UBN Perak kini mempunyai majoriti mudah untuk menubuhkan kerajaan apabila tiga ADUN dari PKR dan seorang ADUN dari DAP mengumumkan keluar parti dan menjadi ADUN Bebas yang menyokong BN. (UBN Perak dan Pakatan Rakyat masing-masing mempunyai 28 kerusi DUN).
5 Feb 2009:
Kenyataan media dari pejabat Sultan Perak menyatakan bahawa Sultan bertitah tidak akan membubarkan DUN dan menitahkan Haji Mohammad Nizar serta Anggota Majlis Mesyuarat Negeri meletakkan jawatan dan sekiranya enggan maka jawatan mereka akan dianggap kosong.
6 Feb 2009:
Dr Zambry dilantik sebagai Menteri Besar Perak Ke-11 menggantikan Haji Mohammad Nizar yang mula memegang jawatan berkenaan pada 17 Mac 2008.
13 Feb 2009:
Haji Mohammad Nizar memohon mahkamah mengisytiharkan beliau masih Menteri Besar yang sah selain memohon injunksi melarang Dr Zambry menjalankan tugas sebagai Menteri Besar.
6 Mac 2009:
Hakim Mahkamah Tinggi Lau Bee Lan merujuk kepada Mahkamah Persekutuan bagi mendapatkan penjelasan mengenai isu-isu perlembagaan dalam saman yang difailkan oleh Haji Mohammad Nizar bagi mencabar kesahihan pelantikan Dr Zambry sebagai MB Perak.
23 Mac 2009:
Mahkamah Persekutuan memutuskan agar kes Haji Mohammad Nizar lawan Dr Zambry dikembalikan ke Mahkamah Tinggi.
3 April 2009:
Haji Mohammad Nizar diberi "lampu hijau" oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur untuk mencabar kesahihan pelantikan Dr Zambry sebagai Menteri Besar Perak berikutan keputusan Hakim Abdul Aziz Abdul Rahim bahawa permohonan yang difailkan oleh Haji Mohammad Nizar pada Februari lepas adalah tidak remeh, tidak menyusahkan dan mempunyai kes prima facie untuk dihujah di mahkamah.
11 Mei 2009:
Mahkamah Tinggi mengisytiharkan Haji Mohammad Nizar sebagai Menteri Besar Perak yang sah kerana mendapati beliau tidak pernah mengosongkan jawatan sebagai Menteri Besar.
12 Mei 2009:
Dr Zambry kekal sebagai MB Perak apabila Mahkamah Rayuan menerima rayuan Dr Zambry bagi menangguhkan pelaksanaan keputusan Mahkamah Tinggi.
22 Mei 2009:
Keputusan Mahkamah Tinggi dibatalkan oleh Mahkamah Rayuan yang mengisytiharkan pelantikan Dr Zambry adalah secara sah dan mengikut Perlembagaan.
19 Jun 2009:
Mohammad Nizar memfailkan notis usul permohonan untuk kebenaran merayu ke Mahkamah Persekutuan keputusan oleh Mahkamah Rayuan.
5 Nov 2009:
Panel lima hakim Mahkamah Persekutuan yang bersidang telah menangguhkan keputusan kes itu pada 9 Feb 2010 setelah selesai mendengar hujahan.
Datuk Seri Ir Haji Mohammad Nizar Jamaluddin menafikan laporan TV3 dan TV9, semalam bahawa pegawai khas beliau adalah antara 38 orang yang ditangkap Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung kes penyeludupan pasir.
Lantaran itu juga, beliau memberi tempoh 24 jam sehingga 3 petang esok kepada dua stesen televisyen swasta itu memohon maaf secara terbuka berhubung laporan yang disifatkannya satu fitnah.
"Jika dua stesen televisyen berkenaan gagal membuat permohonan maaf berkenaan, kita tidak teragak-agak mengambil tindakan undang-undang," katanya kepada pemberita di Ipoh.
"Kami juga sedang mendapatkan rakaman video berkenaan bagi menentukan perkataan yang digunakan," tambah Nizar.
Menurut Nizar besar kemungkinan stesen televisyen berkenaan mendapat maklumat 'palsu' itu daripada sumber yang rapat dengan ahli politik yang berseteru dengannya.
SIDANG DUN TERGEMPAR PERAK SAH: PROF DR AZIZ BARI

|
KUALA LUMPUR, 5 Mac: Sidang tergempar Dun Perak yang diadakan di bawah pokok 3 Mac lalu adalah sah dan tidak menyalahi undang-undang kerana perlembagaan dan arahan tetap dewan menyerahkan kepada Speaker untuk menetapkan tempat dan lain-lain perkara berkaitan |
Menurut pakar Perlembagaan, Profesor Dr Abdul Aziz Bari juga berkata, sedari awal lagi, polis sudah melanggar Perlembagaan apabila menerima arahan dan perintah dari Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) dan bukan dari Speaker yang menjadi kuasa tertinggi DUN.
Dua usul yang diluluskan oleh dewan diperakui sah dan perlu dilaksanakan. Malah Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamad Nizar Jamaluddin boleh diperkenan mengadap Paduka Seri Tuanku Sultan Perak, Sultan Azlan Shah untuk mempersembahkan usul dewan bagi tindakan selanjutnya.
Aziz berkata, mahkamah juga tiada berkuasa untuk mengeluarkan injunksi kepada dewan. Beliau kesal, pihak pentadbiran negeri (SUK), polis dan pihak tertentu menyekat dan menutup dewan daripada digunakan untuk sidang tergempar Dun.
“Mereka (BN) tiada pilihan lain,” ujar pensyarah undang-undang Universiti Islam Antarabangsa (UIAM) itu sambil mempersoalkan sejak bila pula, seorang setiausaha dewan (Abdullah Antong) diberi kuasa mentafsirkan peraturan tetap dewan sedangkan setiausaha hanya kakitangan biasa yang bekerja di bawah arahan Speaker.
Polis juga, tegas beliau boleh didakwa di bawah Kanun Keseksaan (Penal Code) kerana menghalang dewan bersidang dan perkara ini telah disebut oleh Speaker, V Sivakumar.
Mengimbas apa yang terjadi pada pagi 3 Mac lalu, insiden di Perak itu cukup menyedihkan kerana ini membuktikan bagaimana institusi rakyat seperti pentadbiran awam termasuk polis yang sepatutnya bersikap neutral dan tidak memihak serta menjunjung perlembagaan, rela dijadikan ‘kuda tunggangan’ oleh pihak tertentu, kata Aziz.
“Demokrasi tidak akan makmur tanpa kerjasama insititusi itu. Anehnya Zambry tidak mengaku mengeluarkan arahan menutup bangunan sekretariat. Begitu juga dengan Dato’ SS. Jadi, bagaimanapun OCPD terus tidak membenarkan ahli dewan masuk?” soal Aziz kehairanan.
Dari satu sudut, ini telah menimbulkan persoalan, “Apa asas pihak polis untuk tidak membenarkan 28 Adun Pakatan Rakyat masuk ke Dewan? Takkan mereka (polis) tak kenal Speaker? Takkan Adun-Adun Pakatan ini dianggap pengganas dan penjenayah? Ini perlu dijawab oleh pihak polis.”
Tegas Aziz lagi, insiden di Perak itu gagal menyuburkan proses demokrasi kerana institusi awam seperti polis tidak memainkan peranan dengan betul. END |
 |
|
|
prof dr aziz bari, pakar perlembagaan |
L.A BERUSAHA HALANGI SIDANG TERGEMPAR DUN PERAK
IPOH (27 Feb): Penasihat Undang-undang Negeri Perak sedang berusaha menghalang usaha untuk menghantar notis kepada adun-adun Perak berhubung dengan persidangan Dewan Undangan Negeri yang dijadualkan Selasa, 3 Mac.
Menurut Pengerusi DAP Perak Dato Ngeh Koo Ham, penasihat undang-undang Datuk Ahmad Kamal Mohd Shahid, telah mengarahkan Setiausaha Dewan agar tidak menghantar notis mengenai persidangan tergempar itu.
" Usaha ini adalah "menghina DUN" dan mereka berkenaan boleh dihukuman di bawah peraturan dewan," katanya sambil menegaskan bahawa Ahmad Kamal tiada hak untuk mencampuri urusan DUN.
“Beliau bukan penaihat kepada DUN. Dia tidak boleh menghalang proses dan keputusan akhir sama ada untuk menghantar notis itu berada di bawah bidangkuasanya. Speaker akan mencari kaedah bersesuaian untuk menghantar notis jika halangan itu berterusan,” kata Ngeh pada persidang media
Dua usul akan dibentangkan pada persidangan itu. Yang pertama oleh Adun Titi Serong, Khalil Idham Lim untuk mengulangi pendirian dan keyakinan bahawa Dato Seri Mohammad Nizar Jamaluddin untuk terus bertindak sebagai Menteri Besar.
Usul kedua ialah oleh Adun Teja, Chang Lih Kang untuk memohon Menteri Besar menyelesaikan krisisis politik semasa dengan kaedah yang sewajarnya untuk membubarkan DUN, termasuk memohon perkenan Paduka Seri Tuanku Sultan Perak, Sultan Azlan Shah untuk membubarkan DUN. END