Kerajaan negeri Pakatan Rakyat Pulau Pinang telah berjaya memulihkan tahap kebersihan dan mengeluarkannya daripada kepompong negeri yang pernah dilabelkan sebagai negeri "darul sampah" seketika dulu, kata Timbalan Ketua Menteri 1 Datuk Mansor Othman.
Semasa Kerajaan Umno-Barisan Nasional memerintah, Pulau Pinang dilabel negeri sampah kerana kekotoran yang melampau di sungai-sungainya oleh mantan Perdana Menteri Tun dr Mahathir Mohamad.
Kini, hanya selepas tiga tahun memerintah, sungai-sungai di Pulau Pinang menjadi bersih hasil idea kreatif dan rendah kosnya, iaitu penggunaan effective mudballs atau bebola lumpur, yang ternyata berjaya menyahkan kekotoran pada air sungai, katanya.
Di samping kebersihan, Mansor juga menggesa rakyat Pulau Pinang memupuk minat menanam pokok dan menjadikannya sebagai satu budaya murni selaras dengan hasrat kerajaan negeri untuk memelihara alam sekitar yang lestari.
Kemajuan perindustrian di sesebuah negeri semata-mata tidak memberi apa-apa pengertian tanpa pemuliharaan alam sekitar, kata Mansor semasa melancarkan Kempen Tanam Pokok Peringkat Seberang Perai Tengah dengan kerjasama Majlis Perbandaran Seberangg Prai (MPSP) dan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS).
Pelancaran tersebut, katanya merupakan kesinambungan kempen "Hijaukan Bumi Pulau Pinang" agar rakyat Pulau Pinang akan terus menikmati kelestarian alam sekitar.
“Rakyat hendaklah melibatkan diri dalam kempen (tanam pokok) ini dan budaya ini wajar digerakkan bersama,” ujar Mansor.
Mansor berkata, budaya lestari alam sekitar itu tidak mungkin berjaya melainkan memerlukan perubahan paradigma semua pihak.
“Kita kena ubah cara fikir kita, tak cukup dengan kempen atau kuat kuasa undang-undang sahaja. Ubah cara fikir kita macam rakyat di negara-negara maju (iaitu) memelihara alam sekitar dianggap sebagai satu 'status yang mulia' dalam masyarakat."
“Budaya tanam pokok di rumah (serta) kampung halaman kita wajar dianggap sebagai suatu ‘status yang mulia’ dalam diri masing-masing seperti rakyat di negera-negera maju,” beliau menambah.
Yang turut hadir, Timbalan Speaker DUN Pulau Pinang Datuk Tan Hock Leong, Sen Mustafa Kamal Mohd Yusoff, Johari Kassim (Ketua Penerangan PKR Negeri, Abdul Jalil Che Ros (Penyelaras DUN Seberang Jaya).
Dalam perkembangan lain, Mansor turut merakamkan ucapan takziah atas pemergian Pak Umaq, aktivis veteran PKR era Reformasi 1998 merangkap penasihat Pakatan Rakyat pada detik 10 malam semalam di Sungai Rusa, Balik Pulau.
0 comments