Polis tidak menolak kemungkinan salah seorang daripada pasangan yang ditemui mati dalam Toyota Caldina di Lebuhraya Utara Selatan, berhampiran Sungai Buluh, semalam menembak diri sendiri. Demikian hasil siasatan awal oleh polis.
Menembak diri sendiri adalah bahasa paling sopan untuk tidak mengaibkan seseorang kerana tidak diketahui keadaan sebenarnya. Senario dan kronologi kejadian sememangnya menjuruskan ke arah itu. Ini juga berasaskan tiada kesan tembakan dari luar kenderaan.
Polis juga mengesahkan bahawa Naib Ketua Wanita Tanjung Karang, Siti Rohana Ismat, 43, mati terkena dua das tembakan iaitu satu das di kepala dan satu lagi di rusuknya, manakala bekas Adun Permatang, Datuk Abdul Aziz Mohd Noor ditemui mati dengan kesan tembakan di kanan kepalanya dalam kereta berkenaan.
Ketua Polis Selangor, Datuk Khalid Abu Bakar, berkata siasatan menjurus kepada tiga elemen penting iaitu laporan penuh bedah siasat, ujian balistik dan laporan forensik bagi mengenal pasti apa sebenarnya berlaku dan motif kejadian.
Abdul Aziz, 64, ditemui terkulai di tempat duduk pemandu kereta, manakala Siti Rohana, 43, dalam keadaan terduduk di sebelahnya. Polis menemui sepucuk revolver .38 yang masih berisi dua peluru, kepunyaan Abdul Aziz, di celah tempat duduk bahagian depan Toyota Caldina milik Siti Rohana yang dipandu bekas ADUN itu.
“Polis belum dapat mengenal pasti motif kejadian dan sedang menunggu laporan penuh bedah siasat. Siasatan dijalankan bagi mencari maklumat dan bukti, selain ujian balistik bagi mengesan elemen dalam penggunaan senjata api ketika kejadian.
Khalid berkata, polis sudah merakam percakapan beberapa individu terutama yang berada di tempat kejadian bagi membantu siasatan yang dijalankan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.
Beliau enggan mengulas kemungkinan motif kejadian akibat cemburu, sebaliknya meminta semua pihak bertenang.
0 comments