Nampaknya tidak cukup dengan pelbagai jenis perjudian yang telah dihalalkan Kerajaan Umno/BN, kini satu perjudian terbaru diluluskan melibatkan Kumpulan Berjaya yang mendapat hak sebagai syarikat tunggal pertaruhan bola sepak Piala Dunia 2010.
Langkah ini sebagai usaha menghalalkan perkara haram agar menjadi satu sumber pendapatan kepada negara. Lantaran itu, ia bererti semua jenis sukan kini dimohon lesen untuk menghalalkan perjudian.
Akhbar berbahasa Cina, Sin Chew, melaporkan menteri kewangan secara rasminya memberi lesen judi itu kepada Kumpulan Berjaya. Sin Chew melaporkan pertaruhan secara sah itu boleh dilakukan sebelum kejohanan bolasepak itu bermula pada 11 Jun ini.
Perjudian itu boleh dilakukan melalui lebih 2000 kedai pertaruhan Toto yang dimiliki kumpulan itu.
Pada 6 Mei lalu, Timbalan Menteri Kewangan Datuk Dr Awang Adek Hussein berkata, kerajaan mempertimbangkan mengeluarkan lesen untuk membenarkan pertaruhan dilakukan semasa kejohanan bola sepak Piala Dunia 2010 bagi mengelak berleluasanya aktiviti perjudian dan pertaruhan haram di negara ini.
Katanya, jika kerajaan tidak mengeluarkan lesen kepada pihak yang memohon, aktiviti perjudian dan pertaruhan haram tetap berlaku tanpa kawalan dan pemantauan pihak berkuasa.
"Ada beberapa perkara penting untuk dikaji sama ada perkara ini baik bagi kerajaan atau jika kerajaan boleh cuba mengawalnya untuk mengetahui berapa banyak,” ujarnya.
0 comments