Lazimnya BN lebih mendahului mengumumkan calonnya pada setiap PRK, namun bagi penamaan calon PRK Parlimen Hulu Selangor yang akan berlangsung Sabtu ini, BN ketinggalan kepada Pakatan Rakyat kerana dilaporkan kebuntuan memilih calon dari komponen partinya, MIC.
Pakatan telah mengumumkan calonnya iaitu Datuk Zaid Ibrahim (PKR), tetapi BN hanya akan berbuat demikian dalam tempoh dua hari sebelum hari penamaan calon itu.
Calon BN sebenarnya masih menjadi tanda tanya... antara pilihan parti seperti diumumkan Presiden MIC Datuk Seri S Samy Vellu iaitu Timbalannya Datuk G Palanivel atau calon MIC pilihan Umno,V Mugilan.
Gelodak permasalahan ini semakin ketara dan bakal mengheret ke medan kempen pilihan raya kecil itu meskipun siapa sahaja yang dipilih. Yang jelas ialah, Palanivel, yang tewas di kawasan itu pada PRK12 tidak digemari pucuk pimpinan BN.
Sumber Mic, (laporan Malaysiakini) mengesahkan Muhyiddin telah menamakan Timbalan Ketua Pemuda MIC, V Mugilan sebagai calon.
Keputusan itu ternyata menimbulkan reaksi besar dan tidak disenangi Samy Vellu, apa lagi ia sekali gus membelakangi cadangan pencalonan oleh parti MIC sendiri, iaitu sebuah parti komponen ketiga terbesar dalam BN.
Samy Vellu wajar bertegas kerana memang menjadi kuasa mutlak Presiden parti untuk mencadangkan nama seseorang calon. Dan Samy hanya mencadangkan nama Palanivel, manakala Mugilan tidak dalam senarai restunya.
BN tentunya sedang berhadapan perpecahan sokongan di kalangan pengundi India di Hulu Selangor, apa lagi Mugilan dan penyokongnya sudahpun memasang angan untuk dicalonkan. Mugilan juga akan menghadapi masalah dipecat daripada MIC jika dicalonkan memandangkan dia (Mugilan) tidak mempunyai mandat Presiden.
Menurut sumber MIC ketika mesyuarat di Parlimen, Samy Vellu dilaporkan bertikam lidah dengan Muhyiddin berhubung pemilihan calon BN apabila Muhyidin memaklumkan bahawa Mugilan adalah pilihan pemimpin BN.
Samy Vellu mempertahankan pemilihan MIC yang mahukan Palanivel,” kata sumber itu. Samy Vellu dilaporkan tidak berganjak dengan pilihannya kerana persetujuan dikatakan telah dicapai antaranya dan pengerusi BN, Datuk Seri Najib Razak.
Ketua bahagian MIC, Puchong yang juga anggota jawatankuasa pusat parti itu, A Saktivel berkata, MIC mahu calon pilihan parti bukan calon dipilih oleh Umno kerana perkara ini adalah maruah parti.
Kenyataan Saktivel ini jelas menunjukkan Umno mencampuri urusan pemilihan calon oleh parti komponennnya.
Beberapa penyokong MIC dilaporkan mengugut tidak akan mengundi dan membubarkan jentera jika calon pilihan MIC tidak dipilih, namun khabaran juga tersebar bahawa beberapa cawangan Umno sedang melobi pada minit terakhir bagi menyokong Mugilan.
0 comments