Perunding komunikasi antarabangsa APCO Worldwide berkata ia bukan mewujudkan konsep 1 Malaysia seperti yang didakwa ketua pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim di Parlimen semalam.
APCO yang beribu pejabat di Washington, Amerika Syarikat menyatakan ia dilantik oleh kerajaan Malaysia selepas konsep 1 Malaysia diilhamkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.
Firma itu juga membidas sebagai “palsu” dakwaan oleh Anwar bahawa ia telah terbabit dalam kempen perhubungan awam untuk konsep “One-Israel” pada tahun 1999 ketika itu oleh Perdana Menteri Israel Ehud Barak.
Konsep 1 Malaysia diumumkan oleh Najib selepas mengambil alih jawatan sebagai Perdana Menteri awal April tahun lepas.
APCO berkata ia dilantik oleh kerajaan Malaysia pada tahun 2009 untuk menilai kemampuan berkomunikasi menerusi media baru.
Firma itu juga diminta oleh kerajaan Malaysia untuk berkongsi mengenai perkembangan baru-baru ini dalam strategi komunikasi yang diambil oleh kerajaan di Eropah, Amerika Utara dan Afrika.
“Tugas APCO termasuk sokongan komunikasi untuk pelbagai inisiatif pembaharuan yang diambil oleh kerajaan Malaysia, terutamanya dalam bidang pekerjaan, promosi pendidikan dan mengukuhkan penyampaian perkhidmatan kepada orang ramai,” katanya.
Firma itu menyatakan dakwaan bahawa APCO mewakili kerajaan Israel atau Ehud Barak seperti yang didakwa oleh Anwar adalah salah.
“APCO tidak pernah sekali-kali terbabit dengan kempen perhubungan awam berkaitan konsep ‘One-Israel’. Kenyataan di Parlimen Malaysia bahawa APCO terbabit dalam kempen seperti itu adalah palsu,” katanya
0 comments