Ahli Parlimen Bayan Baru, Datuk Seri Zahrain Mohd Hashim mengumumkan keluar PKR berkuatkuasa serta merta dan menjadi wakil rakyat bebas sepenuhnya yang tidak mesra BN.
"Saya berdiri dengan prinsip sendiri sebagai ahli parlimen yang bebas," katanya dalam sidang media ringkas kira-kira 10 minit dan dihadiri sepulih penyokongnya.
Kata Zahrain, beliau bertindak demikian kerana hilang kepercayaan kepada kepimpinan Ketua Menteri Pulau Pinang yang juga setiausaha agung DAP Lim Guan Eng.
"Tindakan kerajaan pimpinan Lim Guan Eng membelakangkan prinsip keadilan, hak asasi kemanusiaan dan keadilan semulajadi. Penyingkiran saya sebagai Pengerusi (syarikat kerajaan negeri) Island Golf baru-baru ini adalah bukti jelas amalan politik cauvinis, diktatorial dan berfikiran alakomunis," katanya.
Zahrain berkata, ia satu keputusan peribadi dan tidak melibatkan rundingan dengan parti-parti lain.
Ditanya sama ada beliau akan mencadangkan wakil rakyat PKR yang lain untuk menurut jejak langkahnya, Zahrain menegaskan ini adalah tindakan peribadinya dan dia tidak terlibat untuk memujuk orang lain.
0 comments