Penangkapan bekas Mufti Perlis, Dr Asri menjadi polemik dalam media, sehingga membengkak dan memalukan umat Islam sendiri. Kebanyakan sekadar menuding jari mencari punca dan kesalahan, tanpa menyedari bahawa ada yang sedang bertepukan kerana berjaya merencanakan agenda ini.
Memalukan kerana yang ditahan itu adalah seorang tokoh agama, yang ada pengikut dan peminatnya. Namun mungkin tiada yang terfikir bahawa ia menampakkan betapa jayanya pelan pihak tertentu untuk menjuruskan agar Jabatan Agama Islam Selangor itu kelihatan lemah, yang kemudian dikaitkan sebagai kelemahan pimpinan Kerajaan Negeri Selangor.
Kelemahan ini pula akan terjurus kepada Dato Dr Hassan Ali, yang merupakan exco agama negeri Selangor. Kebetulan atau tidak, beliau kini keseorangan mempertahankan dirinya… ekoran kes-kes sewaktu dengannya.
Oleh itu, setakat ini nampak berjayalah usaha semua pihak yang hendak memburukkan Hasan. Artikel ini bukan mempertahankan Hasan. Namun kes Dr Asri ini akhirnya akan menjurus ke arah betapa Hasan itu seorang lemah, dan kelemahan Hasan itu adalah kelemahan PAS.
Juak-juak ini sudah semakin berjaya mempermainkan sentimen di kalangan jemaah PAS dan, jika ia berterusan, maka akan runtuhlah kesepakatan PAS ekoran meningkatkannya sikap saling mencurigai di kalangan pimpinan PAS.
Kelemahan ini bukan kerana kelemahan Hasan sahaja, tetapi kerana keadaan sistem pentadbiran negeri-negeri khususnya negeri Selangor, yang tidak jauh bedanya dengan negeri Perak daripada segi enakmen pentadbiran Islamnya.
Di Perak, khususnya, Majlis Agama Islam terletak di bawah seliaan dan penguasaan Sultan Perak Azlan Shah. Begitu jugalah dengan Majlis Agama Islam Selangor, ia di bawah tuanku Sultan Selangor.
Memang peraturan telah dibuat agar hanya mereka yang ada tauliah sahaja dapat menyampaikan ceramah dan kuliah agama di kebanyakan negeri termasuk Selangor. Oleh itu siapa yang mengeluarkan tauliah ini... tentunya JAIS. Namun kadangkala tentunya dengan keizinan pihak tertentu apabila mengetahui tokoh yang ingin berbicara itu berkelayakan, kenapa perlu dihalang majlis seumpama itu.
Sebenarnya Hasan telah tersepit dalam usaha mempertahankan perkenan Sultan dan memenuhi hasrat diri dan parti. Diizin salah dan tak dizinkan salah... namun keizinan sebenar bukan terletak pada dirinya. Di sinilah sebenarnya titik tolak insiden ini, .. iaitu untuk menunjukkan bahawa Hasan tidak berkuasa menentukan hal ini..
Lantaran itu, mudah untuk difahami (kes Dr Asri) bahawa Pengarah JAIS itu adalah di bawah lantikan Sultan Selangor. Apa jua arahan JAIS tentunya dengan perkenaan baginda... begitulah andaian yang dapat dibuat.
Perlu diingat, Menteri Besar Selangor Tan Sri Khalid Ibrahim maupun Hasan tidak mempunyai kuasa untuk mengubah perlantikan atau menyingkirkan mana-mana pegawai kanan JAIS apatah lagi Pengarah JAIS, jika tanpa perkenan Sultan.
Mungkin belum terlambat untuk mengingatkan kita akan kes yang berlaku pada Menteri Besar Perak Dato Seri Mohammad Nizar Jamaluddin yang memecat Pengarah JAIP. Beliau kemudian ditegur oleh Paduka Seri Sultan Azlan, kerana berbuat tanpa perkenaan baginda selaku ketua agama Islam negeri.
Kini amat jelas kelihatan bahawa terdapat pihak-pihak tertentu yang berjaya mempengaruhi baginda Sultan Selangor untuk melaksanakan tindakan-tindakan tertentu dalam mengawal dan menguasai urusan Hal Ehwal Islam. Mungkin perkara ini berlaku ekoran pihak berkenaan merasakan itulah antara usaha yang boleh dilakukan untuk memecahkan kuasa Pakatan Rakyat.
Inilah yang dihadapi oleh Pakatan Rakyat di Perak dan kini di Selangor. Pandangan Hasan mungkin tidak diambil kira, kerana terdapat segelintir manusia yang sekian lama menguasai MAIS dan JAIS berusaha mengeruhkan keadaan. Meskipun berkuasa sebagai exco agama, Hasan terikat tangannya dan tidak boleh mengeluarkan apa jua pekeliling maupun untuk berkhutbah di masjid tanpa tauliah dan perkenan sultan.
Namun wajarlah dikatakan bahawa semua perkara hendaklah bijak ditangani dan diperhalusi agar tidak menyakitkan hati sesiapa jua umpama menarik rambut dari tepung… rambutnya dapat dikeluarkan dan tepungnya tidak berselerak. Kebijaksanaan inilah yang perlu dipraktikan.
0 comments