PULAU PINANG: Rakyat tidak harus keliru dengan dakyah dan tohmahan melampau yang kebelakangan ini dilemparkan pada Pakatan Rakyat kerana ia dengan nyata menunjukkan sikap Umno yang memang pengkhianat.
DS Anwar Ibrahim berkata, pemimpin Umno telah mengkhianati tanggungjawab dan rakyat kini lebih mengetahui dan menyedari apa yang telah mereka lakukan selama memerintah.
Kerajaan Pakatan Rakyat telah membela orang Melayu dengan mengagihkan tanah-tanah kepada orang miskin, tetapi telah dilabel pengkhianat kepada orang Melayu hanya kerana memberi beberapa ekar tanah kepada orang Cina yang miskin, kata beliau.
"(Dato' Seri) Nizar dituduh (pengkhianat Melayu), kerana (kata mereka) Nizar beri sedikit tanah kepada Cina yang miskin. Dia (pemimpin Umno) beri ribuan ekar tanah kepada tauke Cina tidak pula dipersoalkan," jelasnya ketika berucap pada majlis penerangan di Terengganu.
Anwar mempersoalkan tindakan pemimpin Umno memberikan tanah satu gunung kepada taukeh judi di Genting Highland, seluruh Bukit Tinggi diberikan kepada taukeh judi serta di Perak satu 'Pulau' diberikan kepada taukeh Cina tidak pula dianggap satu kesalahan dan satu pengkhianatan kepada orang Melayu.
Anwar turut mencabar Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang menuduhnya sebagai pengkhianat agar dibuktikan apakah tindakan yang pernah dilakukannya kepada orang Melayu sehingga dianggap 'pengkhianat'.
"Saya cabar Muhyidin untuk buktikan apa yang saya lakukan yang dikatakan khianat kepada orang Melayu. Saya ingatkan Muhyidin, jangan mainkan isu peribadi kerana jangan paksa saya mendedahkan kerana saya tahu apa yang Muhyiddin lakukan,"tegasnya.