| |
KUALA LUMPUR: Hentikan penglipurlara mengenai tujuh wasiat raja-raja Melayu selagi tidak ada keberanian menuntut institusi-institusi Melayu dibebaskan dari kekuasaan Perdana Menteri, tegas Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar. |
Membangkitkannya hanya menjadi bahan ketawa sahaja jika tidak berani bersuara sepatah pun supaya institusi-institusi Melayu dibebaskan dari kekuasaan Perdana Menteri.
"Kalau benar mahu menghentikan rasa tidak puas hati orang Melayu, tuntut supaya peneraju institusi-institusi yang dilihat sebagai institusi orang Melayu seperti Mara, Tabung Haji dan Amanah Saham Bumiputera dilantik sendiri oleh Yang di-Pertuan Agong dan bertanggungjawab secara langsung kepada Jawatankuasa Parlimen," katanya.
Pihak yang membangkitkan penglipurlara tersebut hakikatnya melakukan kerja sia-sia kerana setelah 52 tahun Umno menerajui pemerintahan negara ini, kata Mahfuz, ketujuh-tujuh wasiat tersebut telah dicabuli habis-habisan.
"Hanya Rejimen Askar Melayu sahaja yang boleh dianggap masih berbaki ciri-ciri asal," kata Ahli Parlimen Pokok Sena.
Menurut beliau, Islam yang diisytiharkan sebagai agama persekutuan pun diperlecehkan.
"Siapa boleh melupakan kata-kata (Perdana Menteri yang juga Presiden Umno, Datuk Seri) Najib (Tun Razak) terhadap Islam?" kata Mahfuz.
Menurut beliau, pada 20 April 1983, Najib memberitahu wartawan bahawa "negara akan huru-hara sekiranya undang-undang Islam dilaksanakan".
Selepas itu, katanya lagi, pada 20 April 1992, Najib sekali lagi memberitahu wartawan bahawa "kerajaan Kelantan harus dipertanggungjawabkan jika berlaku huru-hara, ketidakstabilan politik, perpecahan di kalangan umat Islam dan kegelisahan rakyat apabila hukum hudud dilaksanakan di negeri itu.
"Sedarkah bahawa di bawah pemerintahan Umno selama 52 tahun hampir 44 peratus tanah rezab Melayu telah pupus di mana tiga juta hektar tanah rezab Melayu pada tahun 1957 mengecil menjadi 1.7 juta hektar pada tahun 1995?