-
You Are Here: Home - politics sketsa - krisis politik perak: pendidikan politik terbaik rakyat
Krisis politik di Perak secara tidak langsung telah memberikan “satu pendidikan politik terbaik" kepada seluruh rakyat bukan sahaja di Perak, malahan seluruh negara.
Khalid Samad, ahli parlimen Shah Alam, berkata krisis di Perak, jelas menunjukkan kepada rakyat mengenai kepincangan yang berlaku dalam institusi-institusi kehakiman, polis dan penjawat awam.
Rakyat telah dapat melihat bagaimana institusi kehakiman, polis dan penjawat awam diperkudakan oleh Barisan Nasional untuk menghalalkan tindakan mereka merampas kuasa daripada Pakatan Rakyat.
Memetik pandangan HISHAMUDIN RAIS
Sekolah politik yang sedang berjalan di Perak ini juga sedang mendidik warga seluruh Malaysia untuk lebih waspada agar mengetahui hak-hak mereka dalam Perlembagaan. Untuk pertama kalinya warga telah disedarkan untuk bangun membaca dan memahami beberapa fasal dalam perlembagaan Perak.
Hasil daripada krisis ini, warga Perak khususnya telah mengetahui peranan raja, peranan menteri besar, peranan tuan Speaker DUN dan had-had yang diwujudkan melalui perlembagaan. Selama kini tidak ramai warga yang ingin mengambil tahu secara terperinci tentang hal-hal perundangan ini.
Mereka lalai dan membiarkan para peguam untuk mentafsir hal perundangan. Apa yang sedang berlaku di Perak telah mendidik rakyat agar mereka sendiri wajib mengetahui dan memahami hak dan kuasa sebenarnya berada di dalam genggaman mereka."
Pada 11 Mei lalu, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur memutuskan bahawa Mohd Nizar Jamaluddin sebagai menteri besar Perak yang sah. Menurut hakimnya Abdul Aziz Abdul Rahim, ADUN PAS itu adalah menteri besar Perak yang sah kerana undi tidak percaya tidak pernah diusulkan terhadap Nizar dalam persidangan DUN Perak.
"Bagaimana seseorang boleh mengatakan yang Nizar telah hilang kepercayaan majoriti mengikut Perkara 16(6) Undang-undang Tubuh Negeri Perak?
"Berdasarkan amalan demokrasi, isu kehilangan kepercayaan majoriti hanya boleh diambil kira melalui undi tidak percaya terhadap pemohon (Nizar), hanya melalui cara ini menteri besar boleh disingkirkan," Abdul Aziz dipetik berkata dalam penghakimannya.
Kegembiraan Nizar dan barisan exco Pakatan Rakyat Perak tidak bertahan lama kerana keesokannya, Zambry, memfailkan rayuan di mahkamah Putrajaya. Ia didengar dan diputuskan pada hari yang sama.
Mahkamah Rayuan bertindak sungguh pantas dan efisyen. Jika kes-kes lain turut diperlakukan sebegini, maka tiadalah kes tertunggak mahkamah di Malaysia.
Mahkamah Rayuan telah membenarkan penangguhan pelaksanaan keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur - yang membawa akibat Nizar sebagai menteri besar Perak yang sah selama tidak sampai 24 jam!
Pada 22 Mei pula, Mahkamah Rayuan menerima permohonan Zambry untuk membatalkan keputusan Mahkamah Tinggi yang mengesahkan pelantikan Nizar sebagai menteri besar.
Keputusan ini akan pasti dirayu pula oleh Nizar di Mahkamah Persekutuan. Apakah ia akan memihak kepada Nizar atau Zambry? Pertikaian di mahkamah antara PR dan BN ini menjadi perhatian ramai dan mendedahkan segala perilaku terbabit dalam membuat keputusan itu.
Menurut bekas menteri di Jabatan Perdana Menteri, Zaid Ibrahim, krisis politik di Perak hanya dapat diselesaikan dengan mengembalikan kuasa kepada rakyat apabila DUN dibubarkan.
"Jika istana Perak membuat keputusan salah (tidak membubarkan DUN), ia bukan sahaja akan menjejaskan institusi beraja di negeri itu tetapi keseluruhan institusi Raja-raja Melayu.
"Jika semua kes mahkamah telah diselesaikan sekalipun, ia tidak akan memuaskan hati rakyat. Jalan yang terbaik ialah krisis politik ini diselesaikan melalui pilihanraya di negeri tersebut," katanya.
Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) turut mendesak agar hak rakyat Perak untuk memilih pemimpin mereka dikembalikan - bubarkan DUN Perak dan adakan pilihanraya negeri.
"Mungkin sudah tiba masanya untuk rakyat di Perak diberikan peluang untuk menggunakan hak mereka sekali lagi untuk memilih kerajaan pilihannya. Hak memilih kerajaan adalah hak asasi manusia," kata pengerusinya Abu Talib Osman.
mk:amin iskandar