-
You Are Here: Home - MOTORING - Kodok dimiliki 36 tahun berlalu pergi
Terasa sayu hati, apabila kodok yang banyak membawa kenangan kepada saya dan keluarga terjual. Mulanya tak terasa apapun semasa urus jual beli dibuat sehari sebelum itu, tetapi setelah lori mengangkutnya tiba-tiba hati menjadi sayu.
VW Super Beetle atau kodok coklat metalik itu saya jual kepada orang Perlis. Upah penghantaran sebanyak RM430 sehingga Kangar. Ceria nampak wajah pembeli yang memang peminat kereta antik.
Percaya sungguh pembeli muda ini apabila membayar harga kodok itu tanpa mendengarpun enjinnya yang saya jangka baterinya sudah tidak bertenaga kerana telah sekian waktu terbiar. Namun untuk memuaskan hati pembeli, saya sekadar mencuba. Tup, tup hidup pulak di sikodok berusia 36 tahun itu. Lagi bertambah ceria wajah pemuda Padang Besar itu.
Kodok ini seketika dulu warna ungu metalik, tetapi lapan tahun lepas dicat coklat metalik ala-ala BMW. Pernah saya pandu hingga ke Johor Baharu dan Hadyai tanpa apa masalahpun. Sehingga ini enjinnya pun masih elok.
Kemalangan teruk tak pernah berlaku. Kecuali pernah terbabas dan terjatuh ke dalam longkang sehingga hampir terbalik semasa balik dari Kelantan. Pernah juga memenangi anugerah pertandingan sekali dua.
Kodok itu akhirnya berlalu pergi pada waktu Maghrib itu.
Kata isteri, tak lama lapang kawasan rumah itu, empat lima hari lagi ada la kodok lain datang.
Benar, hari ini (kira-kira seminggu) selepas kodok coklat itu terjual. saya mula merisik kodok putih yang lebih hebat dengan harga yang lebih baik. Nanti akan saya ceritakan perihal asal usul kodok vw ini dan berapa jenis semuanya.