PULAU PINANG: Ramai cendikiawan menyifatkan pemansuhan PPSMI sebagai positif namun Tun Dr Mahathjir Mohamad mempertikaikannya hanya sejam selepas TPM mengumumkan dasar Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) itu dimansuhkan.
"Walaupun pandangan saya diminta, ia tidak dicerminkan dalam keputusan tersebut," kata bekas perdana menteri itu secara ringkas di blognya kira-kira 4 petang tadi.
Beliau memaklumkan Menteri Pelajaran, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan beberapa pegawai kanan kementerian bertemunya Isnin lalu untuk memaklumkan keputusan memansuhkan dasar yang diperkenalkannya pada 2003.
Dalam kenyataan awal empat ayat itu, Dr Mahathir enggan mengulas lanjut, sebaliknya mengungkapkan kembali bantahannya terhadap desakan Gerakan Mansuhkan PPSMI (GMP) awal Mac lalu.
Dalam sidang medianya sewaktu pengumuman itu, TS Muhyiddin Yassin mendakwa Dr Mahathir "menerima dengan baik" keputusan memansuhkan dasar kontroversi tersebut.
Sementara itu, Pengerusi Gerakan Mansuhkan PPSMI (GMP), Datuk Hassan Ahmad menyifatkan keputusan pemansuhan itu mulai 2012 sebagai kejayaan rakyat.
Katanya, PPSMI merupakan satu dasar yang salah dan menyusahkan rakyat serta membazirkan wang untuk kembali kepada dasar asalnya.
Setiausaha Gabungan Penulis Nasional (Gapena) Datuk Dr Zainal Abidin Borhan menyifatkan isu PPSMI belum selesai'.
Katanya, ini kerana pemansuhan dasar tersebut hanya membabitkan sekolah rendah dan sekolah menengah tetapi tidak mengambil kira pelajar tingkatan enam dan matrikulasi.
"Secara peribadi, saya menyatakan sebahagian daripada perjuangan (Gapena) itu belum selesai.
"Kalau kita lihat dari sudut sosialnya, ada pembahagian pelajar yang mengambil aliran sains dan aliran sastera, kita dapati pelajar kelas sains akan terus belajar sains dan matematik dan seluruh mata pelajaran sains dalam bahasa Inggeris.
"Sedangkan aliran sastera di tingkatan enam, akan terus mengalami diajar dalam bahasa Melayu. Jadi kita lihat berlaku dualisme dalam pembahagian masyarakat.
"Dan ini akan membentuk psikologi pemikiran bahawa barangkali yang berbahasa Inggeris lebih baik daripada yang berbahasa Melayu.