Speaker mohon Sultan Perak tangguhkan
IPOH 4 Mei: Speaker DUN Perak V Sivakumar memohon perkenan Sultan Perak Sultan Azlan Shah menimbangkan supaya persidangan dewan itu yang dijadual Khamis ini ditangguhkan sehingga isu siapa Menteri Besar yang sah diputuskan oleh mahkamah.
Sivakumar berkata permohonan itu dibuat dalam sepucuk surat yang dihantar kepada Istana Kinta di sini pada 11 pagi tadi.
“Saya berpendapat adalah tidak munasabah sidang DUN diadakan dalam kedudukan Menteri Besar yang masih dalam pertikaian di mahkamah,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Kes mengenai siapa antara Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir dan Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin adalah Menteri Besar sedang dalam proses perbicaraan di Mahkamah Tinggi.
Sivakumar turut memberi alasan kebimbangan berlakunya pertelingkahan yang sukar dikawal jika persidangan dewan itu diadakan Khamis ini.END