AlFatihah: Tokoh Maal Hijrah 2005 Dr Muhammad Uthman El-Muhammady, 70, meninggal dunia di kediamannya di Institut Antarabangsa Pemikiran Islam dan Ketamadunan (Istac) malam tadi akibat sakit jantung.
Dr Muhammad meninggal dunia pada kira-kira 7.30 malam.
Teringat pada pada 90-an, penulis pernah menaiki pesawat duduk di sebalah Allahyarham ketika dalam perjalanan dari Kuala Lumpur ke Kota Baharu.. Lalu berbuallah kami mengenai pelbagai perkara berkaitan negara dan dunia media. Pemikirannya kritis. Beliau masa itu kalau tidak silap saya masih menetap di sekitar Panji, Kelantan.
Allahyarham meninggalkan seorang balu Mariam Hussain, 65, dan 11 anak iaitu tujuh perempuan dan empat lelaki, berumur antara 20-an dan 40-an serta lebih 40 cucu.
Anak lelaki Allahyarham, Ahmad, 35, berkata, bapanya tidak menunjukkan sebarang perubahan atau mengadu sakit namun kelihatan letih siang tadi.
"Allahyarham ketika itu sedang membaca buku dan mengadu kepada ibu saya yang beliau letih dan ingin tidur, sebelum ibu menyedari bapa saya telah meninggal dunia dalam tidur," katanya kepada pemberita.
Ahmad berkata bapanya juga sebelum ini tidak menunjukkan kelakuan pelik namun Allahyarham kelihatan begitu gembira pada Ahad lepas ketika berkumpul bersama anak serta cucunya.
Beliau berkata Allahyarham yang menghidap sakit jantung sejak setahun lepas juga sempat menterjemah dua buku agama.
Allahyarham akan dimandi dan disembahyang di Masjid Universiti Islam Antarabangsa (UIA), Gombak pada 9 pagi ini sebelum dikebumi di Tanah Perkuburan Islam UIA selepas solat Zohor.
Dr Muhammad, yang merupakan tokoh pemikir Islam tanah air, dilantik Felo Kehormat Institut Kefahaman Islam Malaysia sejak 1995 hingga 2008, sebelum dilantik semula hingga 2010.
Allahyarham juga adalah Felo Amat Utama Akademik Istac UIA dan anggota lembaga pemegang amanah Yayasan Karyawan, juga pensyarah sambilan peringkat ijazah sarjana dalam perbandingan agama di Universiti Teknologi Mara (UiTM). - Bernama
-
0 comments