Tun Dr Mahathir Mohamad berkata kerajaan dipimpin Datuk Seri Najib Tun Razak pada masa ini berada dalam keadaan "lemah" dan "takut menggunakan kuasa".
Katanya, beliau melihat perkara itu rentetan daripada penyusutan sokongan rakyat pada 2008 yang menurutnya kurang yakin dengan pemimpin pada masa itu.
Tambahnya, BN juga akan meraih kemenangan "kosong" sekiranya kekal menang dengan sokongan dan undian yang merosot dalam pilihan raya umum akan datang.
"Ini soal kuat dan lemah. Bila kita kuat orang tak berani cabar kita. Bila kita kuat, orang tahu majoriti sokong kita.
"Pada pilihan raya 2008 mereka tak sokong lagi kerana kurang yakin dengan kepimpinan yang ada.
"Tapi bila tak sokong ia jadi lemah kerana dulu ada sokongan yang ramai dan kuat.
"Sekarang mereka jadi lemah dan apa yang kita lihat sekarang ialah kerajaan yang lemah.
"Kalau dalam pilihan raya umum akan datang ini, katakanlah merosot lagi, walaupun menang, ia satu kemenangan yang kosong," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditanya hadirin ketika sesi soal jawab dalam program Bicara Minda Tun Mahathir di Shah Alam hari ini.
-
0 comments