Sultan Johor, Sultan Ibrahim Ismail Ibni Almarhum Sultan Iskandar murka kerana kelengkapan ketenteraan yang dibekalkan kepada Kor Gerak Khas bukan sahaja tidak mencukupi tetapi juga tidak bermutu dan tidak menepati spesifikasi.
Baginda turut murka kerana permintaan untuk mempertingkat kelengkapan kor itu tidak diendahkan seolah-olah Kor Gerak Khas dianaktirikan.
"Beta amat menghargai nilai nyawa anggota Gerak Khas kerana ia modal insan yang terlatih, namun jika anggota itu dilengkapkan dengan peralatan yang tidak bermutu dan tidak menepati standard spesifikasi, maka peluang untuk mereka terbunuh adalah amat tinggi.
"Sekiranya perkara ini berterusan yang mana cara pembelian peralatan tidak menepati kehendak Gerak Khas dan dengan harga yang tidak berpatutan, maka beta rasa lebih baik beta sahaja yang mengambil alih pembelian peralatan tersebut," titah baginda.
Sultan Ibrahim yang juga Kolonel Komandan Rejimen Gerak Khas bertitah pada majlis Ulang Tahun Rejimen Gerak Khas Ke-47 di Kem Iskandar di Mersing.
Majlis itu dihadiri Timbalan Menteri Pertahanan, Datuk Dr Abdul Latiff Ahmad dan Panglima Tentera Darat, Jeneral Datuk Zulkefli Zainal Abidin.
0 comments