PM DS Najib Tun Razak dijangka membubarkan parlimen sejurus selepas sambutan ulang tahun Umno ke 66 minggu hadapan.
AJK PAS Pusat Ustaz Idris Ahmad berkata, Najib tidak akan menangguhkan lagi pilihan raya umum (PRU13) berdasarkan perkembangan semasa.
“Kes skandal rasuah kapal selam Scorpene RM3 bilion yang dikaitkan dengan Najib yang sedang dibicarakan di Peranchis akan memberi kesan jika PRU diadakan lebih lewat.
“Kita jangkakan kerajaan juga sudah menghadapi masalah kewangan setelah pemberian wang Bantuan Rakyat 1Malaysia yang lebih banyak menimbulkan kontroversi kerana ada yang tidak puas hati tak dapat,” katanya.
Jelasnya, isu himpunan Bersih 3.0 yang diramalkan memberi kesan negatif kepada kerajaan kerana keganasan polis terpaksa dilupakan Najib berikutan beberapa isu mendesak itu menyebabkan tekanan supaya PRU terpaksa diadakan dalam masa terdekat.
Tambah Idris, Umno akan mengadakan perhimpunan raksasa di Stadium Nasional Bukit Jalil sempena sambutan ulang tahun ke-66 Umno pada 11 Mei bagi menunjukkan kekuatan parti itu kepada umum dan kemungkinan parlimen dibubar 14 Mei.
“Jadi dalam masa terdekat ini kita mesti menggembelengkan segenap peluang yang ada untuk menarik sokongan orang Melayu dan kita terangkan bagaimana kita boleh menjaga Melayu lebih daripada Umno,” tegasnya.
0 comments