Tan Sri Abdul Kadir Sheikh Fadzir menafikan tuduhan Ahli Parlimen Bebas Bayan Baru Datuk Seri Zahrain Mohamed Hashim kononnya beliau menjadi alat pembangkang.
Sambil membidas tindakan Zahrain sebagai tuduhan 'semacam orang yang sudah gila', Abdul Kadir berkata wakil rakyat bebas yang juga bekas ahli PKR itu juga sudah tidak boleh dipakai lagi.
"Sebelum ni dia buat keluar kenyataan pelik-pelik, saya tak kisah sangat lah sebab saya tahu dia nak cari makan. Saya kesian kat dia.
"Tapi sejak akhir-akhir ni saya lebih kesian kat dia. Dari cerita-cerita dia ni nampak sangat dia ni macam gila, " katanya kepada Harakahdaily.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Zahrain kepada TV3 yang disiar dalam Buletin Utama malam tadi yang mengulas isu PAS Kedah.
Zahrain mendakwa kumpulan Anwarinas telah memperalat dua orang exco Kedah bagi menjatuhkan Menteri Besar Datuk Seri Ustaz Azizan.
Dalam ulasannya juga, Zahrain turut berkata, Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim turut menggunakan bekas-bekas pemimpin Umno seperti Tan Sri Abdul Kadir untuk menyerang Umno.
Mengulas lanjut, Abdul Kadir yang juga bekas Menteri Penerangan dan Komunikasi berkata, tuduhan Zahrain itu tidak masuk akal dan tidak munasabah.
"Memang sahih dia macam gila. Kalau nak cari makan pun, buat la cerita-cerita munasabah, jangan duk cerita benda tak masuk akal.
"Jadi saya mintak kawan-kawan Zahrain ni hantar dia ke Tanjung Rambutan," katanya.
Tak perlu cabar
Mengulas gesaan beberapa pihak yang mahu beliau menyatakan pendirian sama ada masih menyokong BN atau sudah menyokong pembangkang, Abdul Kadir berkata beliau tidak mahu layan.
Menyifatkan cabaran itu hanya datang dari 'budak hingusan', beliau berkata melayan cabaran itu hanya membuang masa beliau.
"Saya pegang jawatan dalam Umno 56 tahun. Siapa diorang nak cabar saya, dia baru dua hari masuk politik dah nak cabar saya," tegasnya yang kini memegang jawatan Timbalan Presiden Angkatan Amanah Merdeka (Amanah).
Desakan itu dipercayai ekoran kenyataannya kepada beberapa media alternatif baru-baru ini yang disifatkan menghentam Umno BN.
Pada temubualnya dengan TVPAS dan Harakahdaily Januari lalu, Abdul Kadir mendedahkan jentera BN sekarang sedang masuk ke kampung-kampung mengedarkan wang tunai yang juga disebutnya sebagai strategi "bom" untuk tujuan membeli undi pada pilihan raya.
Dalam isu agenda bumiputra pula, dalam temubual itu beliau mendakwa kerajaan BN telah gagal meletakkan kedudukan sosio ekonomi bumiputra di tahap sepatutnya sedangkan BN sudah diberi tempoh 50 tahun memerintah.
Ianya termasuk kemudahan pinjaman 30 peratus kepada syarikat kecil bumiputera yang kini sudah dihentikan.
-
0 comments