Najib sudah melakukan dua kali lawatan politik ke Perak dalam tempoh yang singkat. Pada 18 Februari, Najib sekali lagi akan melawat Perak. Ini menandakan pilihanraya umum semakin hampir, tetapi masalah di Perak belum stabil bagi memastikan Umno-BN dapat terus berkuasa di negeri "Kejor Yob Kejor" itu.
Pada pilihanraya 2008, BN Perak yang ketika itu dipimpin oeh Tajol Rosli telah tumbang di Perak. Bagamaimanapun dengan tiga orang ADUN Pakatan Rakyat melompat parti kemudiannya, kerajaan negeri Pakatan Rakyat yang ketika itu dipimpin oleh Nizar Jamaluddin akhirnya tumbang.
Dr Zambry kemudian mengambil alih tampuk pemerintahan kerajaan negeri Perak. Berdasarkan senario itu, politik Perak memang panas. BN yang memperolehi kuasa melalui "pintu belakang" dan "kuasa mahkamah", kali ini mahu membuktikan bahawa rakyat Perak akan terus menyokong mereka.
Bagi PR pula, yang merasakan kuasa pemerintahan mereka telah "dirompak" secara tidak sah, turut mahu membuktikan gabungan Pas, DAP dan PKR benar-benar diterima rakyat Perak dalam pilihanraya kali ini. Azam PR bukan setakat untuk menang, tetapi dengan jumlah majoriti kerusi DUN yang lebih besar lagi.
Sebagaimana sibuknya Najib dan diikuti Muhyiddin juga kerap melawat Perak untuk memastikan kemenangan UMNO dan BN Perak, PR juga turut sibuk dengan pelbagai program untuk menawan kembali negeri itu. Malahan kali ini, Pas Perak mensasarkan untuk menang di 15 kerusi DUN di Perak.
Kekerapan Najib melawat Perak, tidak dapat tidak, adalah untuk melihat sendiri persiapan jentera pilihanraya negeri dan sejauh mana arus sokongan rakyat benar-benar mantap serta meyakinkan.
Sehingga ini, senario semasa dan keyakinan kedua-dua belah pihak adalah agak seimbang dengan kedua-dua pihak sama ada BN mahu pun PR, masing-masing mempunyai keyakinan untuk menawan negeri itu. Kekuatan BN Perak banyak terletak pada sokongan Melayu luar bandar manakala PR banyak ditentukan oleh kemantapan sokongan bukan Melayu serta undi Melayu yang berpecah.
Tetapi dengan beberapa isu semasa yang berlaku dalam negara seperti isu lembu NFC, ia mungkin menjejaskan sedikit sokongan kelompok Melayu kepada BN terutama golongan muda dan mereka yang terdedah dengan maklumat internet.
Dengan lawatan Najib ke Perak esok, antaranya bertemu dengan masyarakat Felcra di Pasir Salak, mungkin disertai dengan pemberian beberapa "gula-gula" lagi ia tidak lain ialah untuk memantapkan sokongan orang-orang Melayu Perak kepada UMNO dan BN.
Apa yang menarik juga dalam politik Perak, di sebalik kekerapan Najib turun ke negeri itu dan detik PRU 13 yang makin hampir ialah isu pengganti Dr Zambry sebagai Menteri Besar semakin kuat kedengaran dan diperkatakan di mana-mana. Najib dikatakan mahu meletakkan orang lain sebagai Menteri Besar jika BN kekal berkuasa di Perak.
Meskipun Zambry dilihat tidak menimbulkan apa-apa masalah serta tiada isu kontroversi besar yang melibatkan diri, keluarga dan kepimpinannya tetapi masalah yang dihadapinya ialah beliau agak kurang disenangi oleh orang-orang lama dalam UMNO Perak.
Orang-orang lama ini sama ada masih menduduki kerusi ADUN, Ketua Bahagian atau ahli perniagaan saja, merasakan banyak pandangan dan idea mereka tidak diterima pakai oleh kepimpinan Zambry yang nampaknya suka kepada idea-idea baru lagi kontemporari serta berdasarkan kajian dan penyelidikan ilmiah.
Pendekatan politik yang berasaskan idea-idea baru itu dipraktikkan bersesuaian dengan latar belakangnya kerana sebelum menjadi Menteri Besar, Zambry pernah menjadi Ketua Eksekutif INMIND, sebuah badan pemikir untuk Dr Khir Toyo dan Pengarah CELDES, juga badan pemikir untuk Muhyiddin Yassin. Maka tidak hairan, bila menjadi Menteri Besar, beliau cuba melaksanakan beberapa idea dan pendekatan baru yang dirasakan sesuai dalam kepimpinannya.
Ada kedengaran juga cakap-cakap bahawa stail kepimpinan Zambry yang terlalu menonjol mirip Dr Khir Toyo itu tidak akan mampu menjanjikan kejayaan yang berpanjangan kepada UMNO dan BN Perak. Maka, pilihan yang logik ialah mesti didatangkan seorang calon Menteri Besar baru yang agak sederhana dan boleh diterima oleh semua pihak.
Selain tekanan daripada orang-orang lama, Najib sendiri memerlukan orang yang benar-benar dipercayainya dalam politik Perak. Zambry bukanlah orang Najib serta tidak pernah mempunyai hubungan politik yang intim dengannya sebelum ini dan beliau dipilih menjadi Menteri Besar oleh Tun Abdullah Badawi.
Dalam sejarah politiknya, beliau lebih mempunyai hubungan yang rapat dengan Muhyiddin dan pernah mengetuai CELDES, sebuah badan pemikir untuk Muhyiddin ketika beliau menjadi Naib Presiden UMNO.
Orang yang menjadi kepercayaan Najib di Perak ialah Zahid Hamidi, Nazri Aziz dan Husni Hanazdlah dan ketiga-tiganya menjadi menteri di peringkat pusat sekarang ini. Dengan Nazri Aziz yang lebih sesuai berfungsi di Pusat, pilihan Najib untuk menggantikan Zambry ialah Zahid Hamidi dan Husni Hanazdlah.
Namun kebelakangan ini nama Hamzah Zainuddin, Timbalan Menteri Perusahaan, Perladangan dan Komoditi turut muncul sebagai antara calon yang bakal menggantikan Zambry di Perak.
Kekerapan Najib turun ke Perak adalah bersifat serampang dua mata sebenarnya, untuk memastikan BN menang dan meninjau-ninjau calon yang sesuai menggantikan Zambry di Perak. Berdasarkan pendapat semasa dan sumber yang rapat dengan kalangan UMNO Perak, kemungkinan besar calon yang menggantikan Zambry ialah antara Zahid Hamidi dan Hamzah Zainuddin. Bagi Husni pula, Najib dikatakan amat memerlukan dan selesa dengan peranannya di Kementerian Kewangan.
Berdasarkan realiti politik, Najib memang tidak ada pilihan selain menggantikan Zambry dengan orang yang benar-benar dipercayainya. Kebimbangan utama Najib ialah bilamana BN tidak memperolehi majoriti yang selesa selepas pilihanraya nanti yang memungkinkan kedudukannya sebagai Presiden UMNO akan dicabar dalam pemilihan UMNO selepas itu.
Dengan Perak mempunyai 25 bahagian UMNO serta menyumbang jumlah undi yang banyak dalam menentukan hidup mati sebagai Prediden UMNO, maka kawalan terhadap UMNO Perak amat-amat diperlukan.
Mengekalkan Zambry terus kekal di Perak amat merbahaya bagi Najib, lebih-lebih lagi jika selepas pilihanraya nanti timbul desakan agar Muhyiddin mengambil alih kepimpinan UMNO berdasarkan prestasi buruk UMNO dan BN dalam PRU 13.
Jika pilihan yang ada hanya antara Zahid Hamidi dan Hamzah Zainuddin, besar kemungkinan Najib akan meletakkan Zahid sebagai penggantinya Zambry. Selain bekas Setiausaha Politiknya itu agak lebih dipercayai oleh Najib berbanding Hamzah yang semasa Najib menjadi Ketua Pemuda UMNO, beliau lebih rapat dengan Annuar Musa, Zahid juga akan lebih mudah diterima oleh semua kelompok dalam UMNO Perak.
Golongan lama, generasi muda dan rakyat Perak keseluruhannya lebih mudah menerima Zahid kerana PR dan budi bahasanya yang baik dengan semua orang.
Dengan meletakkan Zahid Hamidi sebagai Menteri Besar Perak, Najib bukan sahaja dapat memastikan masa depan politiknya lebih terjamin jika beliau dicabar, tetapi juga berupaya menyediakan laluan yang lebih selesa untuk sepupunya, Hishammuddin Tun Hussein mendaki puncak kuasa.
Andainya Zahid menjadi Menteri Besar Perak, masa depan politik Hishammuddin tidak mempunyai saingan lagi di peringkat pusat.
Bagi Zambry pula, meskipun beliau akan dibawa di Pusat selepas pilihanraya ini tetapi tiada jaminan beliau akan diberikan jawatan menteri penuh dalam kabinet Najib Beliau mungkin mengulangi sejarah Ramli Ngah Talib yang hanya dijadikan timbalan menteri apabila dibawa ke Pusat. ~shahbudindotcom
Penulis merupakan bekas AJK Pemuda Umno Wilayah Persekutuan
-
0 comments