Seniwati Azean Irdawaty merayu orang ramai agar mengadakan solat hajat untuknya sebagai hadiah sempena ulang tahun kelahirannya ke-62 semalam (Isnin) .
Azean yang lahir pada 27 Februari 1950 berkata, keadaan kesihatannya menjadi semakin kritikal akibat penyakit Lymphedema iaitu kesan akibat pembedahan membuang 16 kelenjar yang dilakukan pihak hospital ketika menghadapi barah payu dara sebelum ini.
“Syukur Alhamdulillah, hari ini (Isnin) saya sudah 62 tahun. Saya nak minta “hadiah” sempena hari lahir saya. Boleh tak panggil orang masjid buat solat hajat minta saya sembuh,” katanya menerusi khidmat pesanan ringkas (SMS).
Dalam SMS itu Azean berkata, keadaan kesihatannya bertambah teruk apabila dia merasakan tulang pada bahagian belakang badannya bertambah sakit manakala kakinya juga menjadi kebas.
Selain itu, badannya juga berasa panas dan perasaannya amat tertekan .
“Saya rasa panasnya macam api dalam daging. Azab rasanya. Tolonglah saya (menunaikan solat hajat),” pintanya.
Sementara itu mStar Online dimaklumkan beberapa rakan artis sedang berusaha menguruskan solat hajat di beberapa buah masjid sebagai memenuhi keinginan seniwati tersebut selain mendoakan kesihatannya.
0 comments