Pesuruhjaya PAS Salleh Man menyifatkan DS Najib Razak takut akan idea “Negara Berkebajikan” yang digagaskan pada Muktamar PAS ke-57 minggu lepas kerana ia mampu meraih sokongan lebih besar rakyat pada PRU ke-13, yang diramalkan November.
Bahkan, beliau berpendapat Perdana Menteri seakan 'buta sejarah Islam' apabila Presiden Umno itu tidak boleh menerima iltizam politik terbaru PAS tersebut walhal kebajikan dilakukan sendiri oleh Rasulullah s.a.w.
“Selepas peristiwa Perjanjian Hidaybiyyah, Rasulullah s.a.w dan para Sahabat bukan sahaja mengerjakan umratul qadha serta melakukan solat berjamaah secara terbuka di Makkah, malahan berusaha membebaskan orang kebanyakan dari hutang serta memerdekakan hamba.
“Semua ini adalah bentuk kebajikan yang dilakukan oleh Rasullah s.a.w sendiri sehingga beberapa tahun berikutnya rakyat Makkah sendiri terima Rasulullah s.a.w dan berlaku Fathul Makkah.
“Mungkin Najib takut, mungkin juga Najib buta sejarah,” ujarnya ketika dihubungi PenangDaily.
Dilaporkan hari ini bahawa Najib sebaliknya mengakui bahawa kerajaan pusat pimpinan Barisan Nasional sendiri telah lama melaksanakan gagasan yang ditawarkan PAS tersebut.
“Label saja negara kebajikan (oleh PAS), tetapi apa yang kita (kerajaan) buat dalam bidang kesihatan, pendidikan, subsidi makanan, minyak dan sebagainya adalah ciri negara kebajikan yang diperjuangkan kerajaan sejak dulu,” kata Najib pada media semalam.
Najib juga seakan cuba melaga-lagakan golongan ulama dan professional yang kian dilihat kembali bersatu sejak Muktamar PAS kali ke-57 yang melabuhkan tirainya pada minggu lalu.
Sehubungan itu, Saleh yang juga Timbalan Yang DiPertua Majlis Agama Islam Pulau Pinang (MAIPP) menasihati Najib dan Umno mencermin diri sebelum menuduh PAS telah lari dari landasan perjuangan Islam yang sebenar.
Ini kerana katanya, gagasan 1Malaysia yang dibawanya sejak dua tahun lalu menyerlahkan bahawa Umno tidak lagi memperjuangkan kepentingan Melayu.
Sekiranya Umno jujur memperjuangkan kepentingan Melayu, Salleh mencabar Najib sendiri mengeluarkan “dokumen ketuanan Melayu” sempena pilihan raya umum ini.
0 comments