Timbalan Ketua Menteri (1) Pulau Pinang Dato' Mansor Othman menyampaikan bantuan kewangan kerajaan negeri kepada 68 mangsa banjir kilat di Dun Pinang Tunggal yang terdiri daripada pelbagai kaum.
Menurut Mansor, sumbangan yang diberikan adalah hasil kumpulan dana dari Pejabat Ketua Menteri Lim Guan Eng, bahagian penyelaras Dun Pinang Tunggal serta dari pejabatnya sendiri.
"Sebenarnya tiada terma bantuan langsung berkenaan bencana banjir kilat tetapi atas musibah yang melanda kita pada 3 April lalu di sini mendorong JKKK kita dengan kerjasama kerajaan negeri tunaikan tanggungjawab mereka membela rakyat.
"Memang kita (kerajaan negeri) nak bantu dan terima kasih kepada seluruh rakyat di sini kerana bersama-sama kita (kerajaan negeri Pulau Pinang) membangunkan kawasan pertanian di sini.
"Kerajaan negeri yang mahu terus mesra rakyat ini mahu mengucapkan terima kasih kepada mereka yang terbabit membuat laporan kerosakan sehingga bantuan bencana ini boleh disalurkan," ujarnya di Dewan Saga, di sini.
Dalam perkembangan yang lain, Mansor yang juga Adun Penanti mengajak rakyat khususnya warga emas supaya mendaftarkan diri sebagai penama untuk menerima bantuan daripada kerajaan negeri.
"InsyaAllah kerajaan negeri, sebelum Hari Raya Puasa akan sekali lagi menyalurkan sumbangan kepada warga emas yang mendaftar.
"Di (Dun) Pinang Tunggal ini, bilangan warga emas yang berdaftar masih kecil dan saya berharap pendaftaran lebih agresif untuk mengurangkan beban hidup rakyat, termasuk orang Melayu sendiri," ujarnya.
Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kampung Pinang Tunggal, Mohamad Akhir bin Che Mat pula berkata, 36 penerima sumbangan terbabit adalah mangsa banjir ekoran projek mega landasan keretapi berkembar oleh kerajaan pusat, di sini.
"Kita melihat 36 keluarga ini layak menerima kerana banjir kilat di rumah mereka yang kebetulan di sekitar kawasan landasan kereta api berkembar. Walau sumbangan ini tidak besar tapi dengan keprihatian kerajaan negeri turun padang dan lihat rakyat sudah cukup mengubati rakyat," beliau menambah.
0 comments