Menurut beliau, hakikatnya tidak wujud dua kumpulan iaitu ulama dan profesional, yang didakwa bersaing untuk menguasai barisan kepimpinan parti Islam berusia enam dekad itu.
“Kononnya kedua-dua (ulama dan profesional) ini adalah inti yang berlawanan antara satu sama lain. Sedangkan hakikatnya tidak pernah wujud jurang antara ulama atau professional dalam PAS kecuali jurang yang diada-adakan oleh Umno-BN.
“Jikapun ada, kedua-duanya tidak lebih melainkan hanyalah caj positif dan caj negatif yang apabila bergabung menjadi arus eletrik yang cukup kuat untuk memberikan renjatan kepada Umno-BN,” kata Nik Aziz menerusi laman Facebook, semalam.
Kata Nik Aziz yang juga menteri besar Kelantan, barisan kepimpinan PAS terdiri daripada pelbagai latar belakang pendidikan dan kemahiran.
Justeru, menurutnya, walaupun berbeza latar belakang, namun dasar perjuangan dan matlamat yang hendak dicapai tetap sama.
“Tidak ada apa yang pelik jika kepimpinan PAS dilatari oleh individu yang datang dari pelbagai bidang pendidikan dan kemahiran.
“Di zaman Rasulullah SAW, sahabat-sahabat baginda mempunyai latar belakang yang pelbagai.
“Oleh yang demikian, tidak ada yang pelik jika di dalam PAS ada kepimpinannya dari pelbagai latar belakang. Profesional dalam PAS itulah golongan ulama, dan ulama dalam PAS itulah professional.
“Semuanya menjadi batu bata membentuk benteng kukuh berdepan dengan ombak sekular. Hari ini, gelombang sekular sedang ganas membadai. Jika dulu, ada gelombang berwarwa biru, hari ini pula ia berwarna merah,” katanya merujuk kepada kempen yang kini digunakan Umno untuk merampas Kelantan.
Nik Aziz mengulas mengenai pemilihan kepimpinan PAS awal bulan depan dengan tumpuan beralih kepada persaingan jawatan timbalan presiden dan naib presiden.
Jawatan timbalan presiden bakal menyaksikan pertarungan tiga penjuru membabitkan penyandangnya Nasharudin Mat Isa, Naib Presiden PAS Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man dan ahli jawatankuasa kerja pusat Mohamad Sabu.
Sementara itu, jawatan naib presiden juga bakal menyaksikan pertarungan sengit.
Datuk Seri Abdul Hadi Awang berjaya mengekalkan jawatan presiden tanpa sebarang cabaran.
Tambah Nik Aziz lagi, beliau berharap perwakilan akan membuat keputusan bijak dalam memilih barisan kepimpinan parti untuk meneruskan agenda perjuangan PAS.
“Harapan saya, muktamar yang akan diadakan pada minggu hadapan ini akan membuahkan hasil yang terbaik untuk perjuangan Islam.
“Kepada para perwakilan, pilihlah pemimpin yang bertaqwa kepada Allah. Ikhlaskanlah hati, dan letakkanlah pertimbangan semasa memilih di atas neraca iman kepada Allah, insya-Allah, saya yakin pilihan para perwakilan nanti adalah yang terbaik untuk meneruskan perjuangan PAS di persada politik tanah air,” katanya.
0 comments