Kenyataan DS Nazri Aziz seolah mempertahankan Ibrahim Ali mengenai 'perang salib" sekadar mengundang marah dan mengelirukan rakyat.
(Ini berikutan kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri itu bahawa tiada tindakan boleh diambil ke atas Presiden Perkasa itu kerana beranggapan kenyataan itu merupakan norma di Malaysia)
Anggota parlimen Kuala Selangor Dzulkefly Ahmad menyifatkan logik Nazri itu cuba menghalalkan tindakan berdiam diri kerajaan terhadap Ibrahim.
"Ia hujah yang pelik," katanya sambil memberi amaran tindakan itu boleh membuka pintu kekacauaan dan huru-hara dalam masyarakat.
"Kita bercakap tentang terpadamnya keluhuran perlembagaan, (keadaan) tiada undang-undang sepenuhnya."
Nazri juga turut dilaporkan berkata, walaupun kenyataan sedemikian tidak disenangi, rakyat "perlu hidup" dan "jadi matang" menangani watak seperti Ibrahim.
Katanya, memandangkan ia turut disiarkan di laman sosial seperti Twitter, ia melangkaui keupayaan kerajaan untuk mencegah atau menghukum.
Sementara itu, anggota parlimen Klang Charles Santiago pula berkata, apa pun sentimen dalam masyarakat pada masa ini, tiada yang "seburuk ucapan Ibrahim".
"Tiada sesiapa bercakap tentang perang salib. Hanya Ibrahim yang sediakan pentas untuk orang Islam menentang orang Kristian."
Katanya, sekiranya Ibrahim terus dibiarkan tanpa dihukum, kenyataannya menyebabkan pelbagai kesan lain, seperti menghalau pelaburan asing, mengancam keharmonian, sekali gus memusnahkan konsep 1Malaysia.
Pemimpin GERAKAN Pulau Pinang Baljit Singh pula mempesoalkan sama ada Nazri menunggu "darah mengalir" sebelum mengambil tindakan sepatutnya.
"Kenyataan Ibrahim, jika dibenarkan bertukar kepada aksi, boleh mencederakan orang.
"Adakah Nazri menunggu darah mengalir baru akan mengambil tindakan yang sesuai?" tanya Baljit dengan marah.
Baljit juga menyufatkan ucapan Ibrahim itu berbaur hasutan dan boleh menyebabkan perselisihan antara kumpulan agama.
0 comments