Pengguna beragama Islam di Pulau Pinang dinasihati berhati-hati jika berkunjung ke restoran atau kopitiam yang mempamerkan pensijilan halal bukan daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).
Ini kerana, hasil siasatan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Pulau Pinang (JHEAIPP), ada kemungkinan pengusaha premis itu menggunakan produk keluaran dua pembekal yang dibatalkan permohonan sijil halal Jakim baru-baru ini.
Dua produk berasaskan daging dan tepung keluaran syarikat terbabit dipercayai mengandungi asid deoksiribonukliek (DNA) babi yang dibekalkan syarikat dari Pulau Pinang dan Kuala Lumpur.
Ketua Penolong Pengarah Bahagian Pengurusan Halal JHEAIPP, Faizal Ibrahim (gambar) berkata, produk tersebut kerap digunakan oleh pengusaha restoran dan kopitiam, justeru pihaknya percaya masih ada premis menggunakannya.
Menurut beliau, JHEAIPP dengan kerjasama Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) negeri akan menjalankan siasatan dan pemantauan di lebih 300 premis yang dikenal pasti.
0 comments