Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin dan Nga Kor Ming (DAP-Pantai Remis) menjadi fokus persidangan Dewan Undangan negeri Perak di Ipoh hari ini, apabila berlaku pertikaman lidah dengan speaker, Datuk R Ganeson dan Menteri Besar, Datuk Seri Zambry Abd Kadir semasa membahaskan Bajet 2011.
Perang mulut tercetus dengan Ganeson kerana tidak mengizinkan wartawan membuat liputan langsung sidang DUN itu.
Nga berkata: “Ini mengarut dan tidak adil apabila hanya media yang mesra BN dibenarkan masuk dan membuat liputan manakala media berkecuali dihalang.”
Ganeson kemudian berkata semua media tidak bersikap sopan dan tidak menghormati dewan dengan merakamkan gambar dan mengadakan sidang akhbar di dalam dewan.
Nga menuduh Ganeson menghina media kerana adalah suatu pembohongan bahawa media mengadakan sidang akhbar di dalam dewan.
"Semua sidang akhbar di bilik media. Ini jelas menghina pihak media dan bukti BN kecut bahawa media akan melaporkan perkara yang benar,” kata Nga.
ADUN BN pula kurang senang dengan sikap Menteri Besar Perak yang disingkirkan, Datuk Seri Mohamad Nizar Jamaluddin yang turut berbahas.
Anggota exco Datuk Hamidah Osman mendakwa Nizar "berceramah" dan meminta Ganeson mengarahkan ADUN PAS-Pasir Panjang itu tidak menyeleweng daripada topik perbahasan.
"Jangan bazirkan masa dewan, jangan merewang dengan berceramah kerana kita bahas mengenai bajet," kata Hamidah.
Nizar mengambil masa lebih sejam dan beberapa kali menggamatkan dewan apabila beliau menyentuh pelbagai isu politik terutama kritikan terhadap Umno.
Nizar turut memberi laluan kepada beberapa wakil BN untuk mencelah tetapi tidak mengendahkan permintaan Jamaluddin Mohd Radzi (Bebas-Behrang).
Jeritan "katak" kedengaran dari kerusi pembangkang setiap kali Jamaluddin bangun meminta laluan, malahan Ganeson juga turut merayu kepada Nizar agar memberi peluang kepada wakil Behrang itu tetapi tidak diendahkan.
Jamaluddin adalah antara tiga wakil rakyat pakatan pembangkang yang berpaling tadah hingga menyebabkan kejatuhan kerajaan negeri yang dipimpin Mohammad Nizar sebelum ini.
Nizar turut menegaskan bahawa kerjasama antara Pakatan Rakyat terutama antara PAS dan DAP tidak merugikan Melayu dan Islam, malahan parti itu kini lebih memahami prinsip-prinsip Islam.
Pemimpin DAP bukan anti-Islam dan orang Islam tidak rugi jika parti terbabit mahu berjinak-jinak dengan Islam, kata beliau.
Datuk Seri Raja Ahmad Zainuddin (BN-Kubu Gajah) seamasa perbahasannya memberitahu dewan bahawa antara punca pelabur kini "takut" melabur ke Perak adalah disebabkan oleh gelagat pembangkang yang keterlaluan.
"Ada pelabur takut datang ke Perak kerana takut perangai pembangkang... persidangan ini disiarkan secara langsung dalam internet, eloklah semua boleh lihat sendiri perangai pembangkang," katanya.
Sidang dewan disambung esok.
-
0 comments