Bahang Pilihan Raya Kecil (PRK) N45 Dun Galas mulai terasa, meskipun hari penamaan calon masih berbaki sepuluh hari lagi.
PAS mulai mempersiapkan markas dan kelengkapan menempuh fasa kempen tidak lama lagi. Pejabat PAS di Gua Musang menjadi markas induk untuk melancarkan perjalanan kempen.
Difahamkan petugas parti dari seluruh Kelantan sudah mula berkampung sejak pengumuman tarikh PRK itu oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) minggu lalu.
Persiapan awal termasuk untuk majlis Pelancaran Jentera Pilihan Raya Dun Galas pada 19 Oktober, yang dijadual disempurnakan Datuk Menteri Besar Kalantan Nik Abdul Aziz Nik Mat juga sudah siap dilaksanakan.
Adalah dijangkakan petugas dari luar akan mula tiba beberapa hari sebelum tarikh pengumuman calon PAS yang dijadual 22 Oktober.
Dewan Pemuda PAS Kawasan Gua Musang pula, telah melancarkan program Perkampungan Futsal mulai 9 Oktober lepas dan akan berlangsung sehingga hari pengundian 4 November.
Ketuanya, Abdullah Hussin berkata, inisiatif tersebut bagi mendekati golongan belia di samping bersukan untuk menerapkan nilai-nilai agama.
"Sebelum memulakan permainan, solat hajat, solat Isyak dan tazkirah dalam gelanggang futsal diadakan," katanya.
Selain futsal, beberapa aktiviti sukan lain turut dipertandingkan sepanjang pilihan raya ini. Lebih menarik, setiap pemain yang menyertai pertandingan perlu mendaftar sebagai pemilih.
Beberapa pengusaha homestay pula memberitahu, kos sewa untuk tiga minggu sepanjang pilihan raya mencecah RM12 ribu bagi teres dua tingkat berbanding hanya RM350 sebulan bagi kadar hari biasa.
Galas mempunyai 13 Unit Peti Undi (UPU) iaitu Bdr Baru Gua Musang, Bdr Lama Gua Musang, Bihau, Belatim, Balar, Sungai Ber, Lojing, Hau, Kampung Pulai, Lepan Tupai, Kampung Baru, Sungai Terah dan Kampung Batu Papan.
SPR sebelum ini menetapkan tarikh PRK Galas pada 4 November ini
0 comments