Memang tidak dapat dinafikan lagi bahawa setiap kali musim perayaan terutama Hari Raya AidilFitri, maka jalan-jalan raya di Kelantan akan penuh sesak dengan kenderaan. Maka kebanyakannya orang ramai mengambil sikap menjadi malas untuk keluar rumah.
Yang pastinya ia telah menjadi satu fenomena yang 'menyerabutkan", kerana semua arah dan jalan terutama di simpang-simpang jalan akan berbaris panjang kenderaan (jammed)... baik ke arah Kota Baharu atau dari Kota Baharu atau di mana-mana sahaja di negeri Che Siti Wan Kembang ini.
Sehari dua sebelum Hari Raya, ibu negeri Kota Baharu terutama di Pasar Siti Khatijah atau pasar-pasar Ramdahan akan menjadi umpama lebah menghurungi madu. Lauk Pauk dan kueh mueh habis terjual sekelip mata. Jalan-jalan "macet" teruk.
Begitulah penangan setiap kali Aidilfitri menjelma dan ia hanya akan reda dalam tempoh seminggu. Semuanya gara-gara anak-anak negeri yang merantau di luar Kelantan pulang ke kampung halaman masing-masing. Tiap rumah akan kelihatan tiga atau empat buah kereta terparkir (kereta anak-anak yang pulang ke desa dari merantau).
Bayangkan betapa jalanraya yang sedia ada itu menampungi lebihan kenderaan sehingga 40 peratus lagi daripada sejumlah 600,000 kenderaan yang sedia ada di Kelantan. Tentulah ia menimbulkan masalah kesesakan ketara di jalan utama.
Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan Negeri, Abdul Ghani Che Kassim berkata, anggaran itu berdasarkan jumlah kemasukan kenderaan luar serta jumlah kenderaan yang didaftarkan di Kelantan.
"JPJ menjangkakan penambahan 30 hingga ke 40 peratus kenderaan dari luar. Ia akan menyebabkan kesesakan jalan raya di negeri ini terutama apabila hampir musim raya," katanya.
0 comments