PAS yakin mereka yang berlatar belakang agama dalam Umno tidak ke mana akhirnya kerana hanya akan menjadi kupang tembaga yang digunakan ketika hendak melawan hujahan PAS sahaja, kata Ketua Penerangan PAS Pusat, Ustaz Idris Ahmad.
"Pas yakin bahawa Umno bukanlah tempat untuk orang berlatarbelakang pendidikan agama berjuang".
Sambil menyebut beberapa nama ahli Umno yang berkelulusan lebih tinggi dan berpengaruh berbanding dengan 40 orang yang mendakwa sebagai ulama muda yang menyerah borang menyertai Umno, Idris bertanya ke manakah perginya mereka yang berkenaan?
Antaranya ialah Dr Hamid Othman (bekas Prof Madya UKM BA Azhar, Phd UK) , Dr Abdullah Mohd Zin (bekas Prof Universiti Sains Islam Malaysia USIM, BA Madinah, Phd UK), Dr Yusof Nor (bekas Prof Madya UKM, Phd Mesir), Brg Jeneral Hamid Zainal Abidin, Dr Ismail Mat (UKM) dan Ustaz Nakhaei Haji Ahmad/
"Justeru itu, amat menghairankan ketika kapal Umno hendak tenggelam dan penyakit barah Umno sudah sampai ke tahap keempat untuk ditalqinkan, tiba-tiba ada mereka yang berlatar belakang agama bersama-sama dengan Umno untuk karam sama".
“Sewaktu anak-anak muda yang memakai subang sebelah dan wanita yang tidak bertudung bersama gerakan untuk menukar kerajaan BN kepada kerajaan Pakatan Rakyat, tiba-tiba mereka yang belajar agama boleh bersekongkol dengan Umno," kata Idris.
“Parti yang rapuh, penuh dengan sarat rasuah, moral yang rendah, mengkhianat wang rakyat dan pembaziran, mengambil APCO Yahudi sebagai penasihat, hak milik negara digadai kepada Singapura dan Brunei,” katanya.
Tegasnya, PAS yang berpegang kepada dasar Islam, ulama yang muttaqin menjadi rujukan akan terus mara ke hadapan untuk menyelamatkan rakyat dan negara daripada kehancuran.
Katanya, walaupun beribu-ribu menyertai Umno ...PAS tidak takut, lebih-lebih lagi yang menyerahkan borang semalam adalah mereka yang tidak diketahui langsung dari mana kedudukan mereka.
Tegasnya, namun demikian perjuangan PAS bukan menentang peribadi tetapi menentang dasar Umno yang mempertahankan dan membawa perkara munkar dan mengkhianati amanah negara dan rakyat.
0 comments