GURUN:Sepasang suami isteri dan sembilan anaknya dihalau keluar dari rumah sewanya ekoran tidak mampu menjelaskan bayaran pendahuluan elektrik RM40, di Kampung Bukit Kuang, Padang Lembu dekat sini.
Namun kesempitan hidup Shahrul Abdul Rahman, 37, dan keluarganya itu tidak berpanjangan kerana ia mula mendapat perhatian Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) yang menghulurkan bantuan.
Pengerusi GPMS cawangan Kedah, Zuraidi Rahim berkata pihaknya akan turut membantu perbelanjaan empat anak Shahrul berusia antara 8 dan 12 tahun serta akan memindahkan keluarga tersebut ke Sungai Petani bagi memudahkan urusan pekerjaan isterinya.
"GPMS akan mendapatkan tempat tinggal untuk mereka di Sungai Petani kerana isteri Shahrul, bekerja di kilang di Sungai Petani," katanya.
Shahrul berkata beliau tidak mempunyai wang untuk menjelaskan wang cagaran bayaran elektrik yang mungkin menyebabkan pemilik rumah telah menghalau mereka tiga minggu lepas.
"Pada malam itu kami menumpang tidur di kaki lima sebuah bengkel kosong di kampung ini. Esoknya kami didatangi pemilik bengkel dan membenarkan kami tinggal di bengkel hingga hari ini," katanya.
Menurutnya mereka baru sebulan menyewa rumah di kampung itu dengan kadar RM100 sebulan sejak berpindah dari Kuala Lipis, Pahang pada April lepas.
"Saya melakukan kerja sambilan dan memperolehi kira-kira RM200 sebulan," kata Shahrul, manakala isterinya memperoleh kira-kira RM500 sebulan.
Orang ramai yang igin menghulur wang kepada keluarga tersebut boleh berbuat demikian menerusi akaun Maybank Shahrul bernombor 156114191576.
0 comments