Sudah terang lagi bersuluh, begitulah pepatah paling tepat untuk menyatakan bahawa PRK Hulu Selangor akan memperlihatkan pertembungan antara ayam tambatan MIC, Datuk G Palanivel dan pakar undang-undang PKR, Datuk Zaid Ibrahim.
Palanivel yang merupakan penyelaras bahagian Parlimen Hulu Selangor sejak Oktober lepas, merupakan satu-satunya calon yang dikemukakan MIC sebagai calon BN dan ini menyukarkan pucuk pimpinan BN untuk menolaknya memandangkan calon adalah seorang Timbalan Presiden parti komponen.
Walaupun Palanivel dikatakan tidak ‘popular’ di kalangan pengundi Hulu Selangor masa kini, yang secara umumnya mahukan muka baru, terdapat sekumpulan penyokong MIC yang berpendirian tidak akan keluar mengundi jika Palanivel digugurkan dan digantikan dengan muka baru.
Itulah dilema MIC dan BN Hulu Selangor. Palanivel menjadi Ahli Parlimen kawasan itu sejak 1990 tetapi tewas dalam percubaan kali kelima pada pru 12. Namun amat memalukan jika pencalonan Palanivel oleh presiden parti MIC itu ditolak mentah-mentah oleh Pengerusi BN.
Pengerusi BN perlu menghormati pendirian parti komponennya, apalagi yang dicalonkan adalah seorang Timbalan Presiden sebuah parti komponen ketiga terbesar dalam BN.
Sumber-sumber pula berkata, para pemimpin Umno juga tidak menerima Palanivel tetapi mahukan “Mugilan atau Kamalanathan.”
Mugilan yang dilihat lebih popular di kalangan Umno itu disifatkan sebagai proksi kepada UMNO. Namun Ketua Umno Hulu Selangor Datuk Mohamed Idris Abu Bakar menolak spekulasi beliau mengiktiraf Mugilan sebagai calon.
Parti Keadilan Rakyat (PKR) pula kelihatan cenderung meletakkan anggota majlis tertingginya Zaid Ibrahim jika Palanivel dicalonkan.
Zaid yang meletakkan jawatan sebagai Menteri dilihat mempunyai impak besar dalam mempengaruhi pengundi Hulu Selangor. Pendiriannya yang tegas dalam beberapa isu menjadikannya seorang tokoh yang dihormati.
Kerusi Parlimen Hulu Selangor menjadi kosong ekoran kematian Datuk Dr Zainal Abidin Ahmad (PKR) pada 25 Mac lepas. Pada PRU12, Allahyarham Dr Zainal Abidin menewaskan Palanivel dengan 198 majoriti. Hulu Selangor mempunyai 63,593 pengundi.
-
0 comments