Bekas wakil rakyat Bebas tiga penggal berturut-turut di Dun Batu Laut, Haji Mohd Jabar Mohd Yusof, 73, menggesa wakil Bebas yang lompat parti meletakkan jawatan dan menyerahkan semula kepada rakyat untuk pilihan raya semula.
Beliau berkata, amat tidak wajar mereka membawa kerusi itu kerana dipilih rakyat bukan berdasarkan nama peribadi tetapi atas nama parti, dalam hal ini tentulah kerana Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan Pakatan Rakyat (PR).
Beliau memenangi kerusi Batu Laut pada tahun 1974, 1978 dan 1982 yang kini dikenali sebagai Tanjung Sepat dan diyakini merupakan rekod sejarah yang belum dapat dipecahkan oleh mana-mana pemimpin bebas di negara ini serta diakui banyak pihak, kemenangan calon Bebas selama tiga penggal berturut-turut adalah yang amat sukar dilakukan.
"Perbezaan antara saya sebagai wakil rakyat Bebas dengan wakil rakyat itu adalah kerana saya memang calon Bebas dalam pilihan raya dan menang manakala mereka pula menang atas nama PKR dan melompat parti untuk menjadi Bebas," tegasnya yang lebih dikenali dengan nama mesra Cikgu Jabar (gambar) kerana menjadi pendidik di situ lebih 20 tahun sejak tamat belajar.
Meskipun setiap wakil rakyat yang melompat itu, ujarnya, mempunyai agenda peribadi tersendiri adalah lebih baik kerusi itu dikembalikan kepada rakyat untuk mereka memilih wakil rakyat baru.
0 comments