Panel tiga anggota hakim yang diketuai Datuk Suriyadi Halim Omar, Datuk Hasan Lah dan Datuk Ahmad Maarop membenarkan rayuan pendakwa mensabitkan Azman, 68, yang ketika itu Ketua UMNO Bahagian Tapah, atas tuduhan pertama memberi suapan RM2,000 kepada kontraktor, Mohd Kamal Rabaii.
Suapan itu sebagai dorongan tidak menerima tawaran penyelesaian dari Pazli Abdullah Sani supaya, Pazli (ketika itu Ketua Pemuda UMNO Bahagian Tapah), kekal muflis dan tidak layak bertanding menentang Azman bagi jawatan Ketua UMNO Bahagian Tapah pada 22 April 2001.
Dia melakukan kesalahan itu di rumahnya di No 29, Jalan Lengkok Pasar, Rapat Setia, Ipoh, antara 6 petang dan 7 malam, 6 April 2001.
Bagaimanapun, Mahkamah Rayuan mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi membebaskan dan melepaskan Azman atas tuduah kedua memberi rasuah RM5,000 kepada Mohd Kamal untuk tujuan serupa di tempat yang sama antara 8.30 malam dan 11 malam, 9 April, 2001.
Azman mengaku tidak bersalah atas dua tuduhan itu di Mahkamah Sesyen Ipoh pada 2004 dan pada 22 Ogos 2005, Mahkamah Sesyen Ipoh mendapati Azman bersalah atas dua tuduhan tersebut.
Dia dikenakan hukuman penjara dua tahun dan denda RM10,000 atau penjara enam bulan bagi tuduhan pertama dan penjara dua tahun penjara denda RM25,000 atau penjara setahun bagi tuduhan kedua.
Hukuman penjara itu berjalan serentak berkuatkuasa pada hari tersebut.
Bagaimanapun, mahkamah membenarkan permohonan Azman menangguhkan pelaksanaan hukuman sehingga rayuan selesai.
Pada 2008, Mahkamah Tinggi Ipoh membenarkan rayuan Azman untuk dibebas dan dilepaskan atas dua pertuduhan tersebut. Pihak pendakwaan kemudian mengemukakan rayuan di Mahkamah Rayuan.
Pendakwaan dijalankan oleh Timbalan Pendakwa Raya Saiful Edris Zainuddin manakala Azman diwakili oleh peguam Datuk Seri Muhammad Shafee Abdulah.
0 comments