TUAN PEE EMM, tuan telah meminta rakyat Malaysia memberi cadangan akan Bajet 2010 yang tuan bentangkan di Parlimen. Sebagai rakyat yang baik di negara Malaysia yang demokrasi ini, maka saya pun mahulah mengemukakan cadangan yang tidak seberapa ini.
Tuan Pee Emm, sejak tuan umum peruntukan Bajet Mini berjumlah RM60 bilion diawal tuan menjawat jawatan Pee Emm, dalam kepala saya ialah: Jikalaulah daripada jumlah RM60 bilion tersebut - saya tidak tahu kira betapa banyaknya - disedekahkan RM1 juta kepada setiap seorang daripada 27 juta rakyat Malaysia ini, saya bayangkan, rakyat Malaysia akan kaya raya dan tidak ada yang miskin dan papa kedana.
Tuan Pee Emm, daripada peruntukan RM60 bilion itu juga - yang saya tidak tahu betapa banyaknya - saya bayangkan alangkah bertuahnya pengguna lebuh raya sekiranya pemilik konsensi lebuh raya yang nilai semasanya dilaporkan berjumlah RM10.5 bilion itu dibayar habis, disetelkan dan-dan itu juga!
Saya tidak pandai ilmu hisab tetapi saya dapat merasakan jika cadangan saya ini dipersetujui - bayar habis kepada konsensi lebuh raya - maka saya sebagai rakyat Malaysia tidak lagi perlu membayar tol sehingga arwah bila melalui lebuh raya apatah lagi balik kampung berhari raya atau misalnya, semasa pilihan raya!
Tuan Pee Emm, kempen diskaun tol pada musim perayaan dari pukul 12 malam hingga pukul 7 pagi saya rasakan hanya kelakar, mengganggu tidur sahaja. Bukankah baik dipercumakan terus tol demi beramal jariah kepada rakyat?
Sekali baca, kempen ini jelas menggalak orang ramai berpusu-pusu masuki lebuh raya dan menyerbu palang tol untuk mendapat diskaun. Lihat, betapa subsidinya rakyat Malaysia, ceh!
Tuan Pee Emm, selama ini kita dikempenkan agar tidak memandu dalam keadaan mengantuk, dalam kes diskaun tol yang dijom heboh pada waktu tidur ini, bagaimana pula agaknya? Perlukah kita menyerbu palang tol di lebuh raya pada waktu tidur? Bukankah pada waktu itu biasanya adalah waktu tidur dan bangun pagi sekalian rakyat?
Alahai! Betapa bengapnya kita berkejar berlumba di lebuh raya dan lebuh raya menjadi sesak pada waktu kita tidur? Waktu tidur sepatutnya adalah waktu rakyat setel masalah!
Dan yang kaya, yang nyenyak tidur pada waktu itu, masih tetap kapitalis! Tuan Pee Emm, saya cadangkan dibikin satu atau banyak konsortium. Kerah konsortium ini masuk kampung-kampung, kerah mereka hidupkan semula sawah terbiar, airi tanah yang kontang, tanami semula padi.
Malaysia miliki tenaga buruh pendatang yang melimpah ruah, ambil, kerah dan gajikan mereka bercucuk tanam padi dan bukan hanya bina bangunan tinggi!
Tuan Pee Emm, generasi tua yang menghidupkan sawah di kampung-kampung selama ini, sudah pupus. Manakala generasi baharu yang sekolah tinggi-tinggi tidak kenal sawah bendang dan mereka memilih untuk hidup dan bekerjaya di bandar-bandar. Malah generasi yang tidak bersekolah tinggi pun memilih bandar untuk menjadi sabut yang timbul atau batu yang tenggelam!
Tuan Pee Emm, jika tenaga buruh di Malaysia yang berjumlah jutaan orang itu boleh dipetik jari untuk dikerah hidupkan semula sawah mati maka berelung-relung tanah sawah mati dan terbiar itu akan kembali hidup subur.
Hasilnya beras tidak perlu diimport, tidak perlu risau orang kampung mati tidak makan, tidak perlu susah payah heboh beras free kepada orang miskin tegar kerana hasil yang diperoleh daripada berelung-relung tanah sawah terbiar di seluruh ceruk negara barangkali lebih daripada mencukupi.
Beras akan sentiasa ada, rakyat tetap makan nasi dan rakyat tidak akan mati kerana tidak makan nasi! Sekian untuk renungan Tuan Pee Emm. Heppy Deepavali!Hidup Isa Bagan Pinang!
0 comments