PULAU PINANG: Sudah jatuh ditimpa tangga.... begitulah nasib Umno yang dikelilingi rakan-rakan komponen bermasalah dalam Barisan Nasional, sehingga tiada tempat nak bergantung kerana kebanyakan dahan rapuh menanti patah .
Kekalahan pada PRK Permatang Pasir amat memalukan sehingga mulut pemimpinnya terkunci untuk mengulasnya, (walaupun sebelum keputusan diumumkan umpama mulut tempayan tak bertutup). Media rasmi dan RTM dan TV3 langsung pekak dan bisu untuk membuat laporan kekelahan.
Mujur onar membusung MCA yang tak terbendung .. pecah terburai sehari selepas pengundian n11, jika tidak lebih teruk lagi kekalahan Umno/BN. MIC juga menanti retak menjadi belah (tunggu dan lihat), parti PPP juga mengharapkan rakan-rakan (yang juga sakit) untuk menyelesaikannya.
MCA memecat Timbalannya Datuk Seri Dr Chua Soi Lek... tentunya bagi mengulit mimpi lebih nyaman bagi Presidennya Datuk Seri Ong Tee Keat, yang juga menghadapi pelbagai tuduhan oleh Ketua Pegawai Eksekutif Kuala Dimensi Sdn Bhd (KDSB), Datuk Seri Tiong King Sing.
Enam MCA bahagian di Perak iaitu bahagian Bagan Datoh, Kampar, Tambun, Batu Gajah, Ipoh Timor dan Ipoh Barat pula menuntut Ong digantung dari parti yang dipimpinnya itu.
Ahad lepas, bekas Naib Presiden MCA yang kini menyertai PKR, Datuk Chua Jui Meng mengaitkan krisis MCA itu dengan agenda Umno.
Menurut beliau, khabar angin tersebar bahawa Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin tidak berpuas hati melihat Ong menjadi Presiden MCA dan lebih suka Chua memimpin parti itu.
Beliau mendakwa, Umno tidak berpuas hati dengan cara Ong mendedahkan skandal Zon Bebas Pelabuhan Klang (PKFZ), yang jika terburai, akan membuka pekung membabitkan ramai pemimpin Umno.
Skandal itu mula merebak apabila Ahli Jawatankuasa Pusat MCA, Datuk Tee Lian Ker mendakwa baru-baru ini bahawa ramai tokoh Umno dan MCA berada dalam "payroll" Ketua Pegawai Eksekutif KDSB yang menjadi pemaju PKFZ.
Skandal PKFZ sebelum itu semakin panas apabila Tiong mendakwa Ong menerima RM10 juta daripadanya.
0 comments