KUALA LUMPUR: Imej dan intergriti Jabatan Pengajian India, Universiti Malaya kini tercemar dan tercalar ekoran dakwaan penyelewengan dan skandal sehingga memerlukan satu penyiasatan mendalam termasuk kes penganugerahan ijazah kelas pertama yang keterlaluan bilangannya.
Ia kini di bawah bidang kuasa Naib Canselor Universiti Malaya Datuk Dr Ghauth Jasmon untuk menyelesaikannya, demikian ditegaskan Menteri Pengajian Tinggi DS Mohamed Khalid Nordin
Jabatan itu kini di bawah siasatan ekoran skandal pemeriksaan kertas tesis calon PhD dan juga laporan jumlah penerima ijazah dengan kepujian kelas pertama pada kadar yang sangat luar biasa.
Isu itu menjadi lebih kontroversi apabila pentadbiran UM melantik bukan keturunan India menerajui jabatan berkenaan. Secara tradisinya, j$abatan itu diketuai pensyarah berketurunan India.Pada 30 Julai lepas, dalam laporannya kepada Menteri, Dr Ghaut menyatakan bahawa pertelingkahan antara lapan kakitangan akademik jabatan itu mengenai calon yang layak menerajui jabatan itu adalah punca seorang bukan India dilantik sebagai pemangku ketua.
Ekoran itu, MIC mendesak jawatan tersebut dikembalikan kepada seorang pensyarah keturunan India sebagaimana tradisi sebelum ini. Setiausaha Agungnya, Datuk Dr S. Subramaniam turut menemui Dr Ghauth pada 30 Julai lalu untuk menyatakan pandangan dan pendirian parti itu.
Kontroversi di jabatan itu juga turut dikaitkan dengan dakwaan berlaku penyelewengan dalam urusan pemeriksaan tesis calon doktor falsafah (PhD) dan penganugerahan ijazah sarjana muda dengan kepujian kelas pertama pada jumlah yang sangat luar biasa.
Kedua-dua isu tersebut dibongkar apabila satu siasatan dalaman dilakukan atas arahan Dr Ghauth.