Cabar mencabar dan kenyataan yang kadang kala tidak berasas dikeluarkan oleh pimpinan pelbagai peringkat negeri mahupun daerah. Kelihatan usaha Umno/BN untuk melerai dan memusnahkan kerjasama antara PAS, DAP dan PKR ini semakin berjaya, jika PR masih hanyut dibuai mimpi indah PRU12.
Lebih menghairankan dada akhbar media arus perdana yang menjadi medan pertelingkahan. Umno/BN sedang bertepuk tangan.
Sememangnya jika dilihat dan didengar daripada apa yang berlaku akhir-akhir ini, ia kelihatan amat rapuh. Inilah gara-gara semua peringkat pimpinan bebas bercakap, atau gemar mendapat publisiti ataupun cuba menjadi jaguh dan menarik perhatian ramai dengan menjuarai sesuatu isu.
Pelik melihat kenyataan yang teramat bebas boleh dibuat oleh semua pihak. Seharusnya sebarang kenyataan media hendaklah lebih berlapik sifatnya jika menyentuh rakan sendiri dan kenyataan oleh pimpinan peringkat bawahan hanya boleh dibuat setelah pimpinan peringkat nasional membuat kenyataan terhadap sesuatu isu.
Oleh kerana itulah, PR mesti membuat satu garis panduan tegas dalam usaha mengekalkan kerjasama yang baru ini. Perkukuh dan suburkan bukan dibiarkan untuk dihentam dan digagalkan.
Lantaran itulah, kenyataan pimpinan DAP Lim Kit Siang menggesa semua komponen Pakatan Rakyat bersikap lebih padu dan berusahasama ke arah memperkukuhkan keyakinan rakyat, dan mengelakkan pertelingkahan terbuka sepatunya membuka mata semua.
Katanya, jika hal ini tidak dapat diatasi, ia boleh mengakibatkan PR hanya hebat sepenggal sahaja.
Kenyataan beliau itu dibuat berasaskan keperihatinan beliau selaku pimpinan PR peringkat nasional ekoran beberapa siri pertelingkahan antara DAP dan PAS yang boleh menjejaskan kredibiliti kerajaan negeri dikuasai PR.
“Semua pimpinan Pakatan Rakyat dari PKR, DAP dan PAS mesti bersikap bertanggungjawab dan berdisiplin untuk memperkukuhkan lagi keyakinan rakyat terhadap kredibilti, perpaduan, integriti dan kesungguhan PR jika tidak mahu melihat PR hanya berjaya sepenggal sahaja."
Garis panduan hendaklah dibuat dalam penyelesaian masalah mengikut saluran tertentu. Penyelesaian bagi isu dalaman hendaklah dibuat secara dalaman dan jika hal ini dapat dibuat ia akan nampak lebih manis.
Rakyat telah memberi peluang pada PR dan oleh kerana itu segala kebijaksanaan hendaklah digunakan sebaik mungkin dalam usaha memperkukuhkan kerjasama dan perpaduan dalam pakatan Pakatan Rakyat itu sendiri.
Kata Kit Siang, jika pertelingkahan terbuka berterusan ia akan hanya menimbulkan kecelaruan yang akhirnya PR akan tercela.
Oleh kerana itu, adalah penting jika terdapat apa jua rasa tidak puas hati oleh mana-mana komponen PR atau pimpinannya, ia mesti dibincangkan dan diatasi secara dalaman," kata beliau.
p/s sekadar menjentik