KUALA LUMPUR: Polis mulai menahan lebih ramai aktivis Gerakan Mansuhkan ISA yang kini semakin ramai berhimpun di beberapa lokasi termasuk sekitar Sogo, Jalan Tuanku Abdul Rahman, Masjid Jamek dan Masjid Negara.
Polis terus berusaha menghalang dengan membuat kawalan ketat bagi mengelakkan orang ramai berhimpun.
Unit anjing dan helikopter polis kelihatan berlegar-legar rendah di kawasan Jalan Tunku Abdul Rahman yang telah ditutup kepada lalu lintas.
Aktivis GMI Norlaila Osman dan anak perempuannya Narshita Md Noor, Aiman Athirah Al-Jundi (PAS), Salmah Ismail (PKR), Hayati Abd Samad (PKR) telah ditahan dan dimasukkan ke dalam Black Maria.
Sesetengah laporan diterima juga mengatakan bahawa beberapa anggota unit amal PAS dari Pulau Pinang dan Perak turut ditahan. Di samping itu, lapan lelaki turut ditahan dan dimasukkan ke dalam Black Maria. Polis turut menahan 20 orang di Masjid Jamek, termasuk seorang peguam Puspa Rosman yang mengedarkan risalah undang-undang kepada orang ramai.
Polis menghalang orang ramai memasuki perkarangan masjid, manakala orang ramai yang berkumpul di Stesen KTM mula bergerak ke Masjid Negara untuk menunaikan solat zohor. .
Keadaan di Istana Negara, kelihatan tenang. Orang ramai belum kelihatan namun polis sudah siap siaga menghadapi sebarang kemungkinan dengan empat buah trak 'Water Cannon' dan sepuluh trak anggota FRU.
-