PERMATANG PASIR: Kempen PRK N11 Permatang Pasir mulai bertambah sengit dengan Umno/BN yang semakin tertekan dan terdesak berusaha mengambarkan bahawa calon PAS tidak amanah umpama calon mereka juga.
Calon PAS Ustaz Haji Salleh Man ditohmahkan mengelapkan wang dana pilihan raya umum sejumlah RM600,000, selain difitnahkan ada skandal dengan seorang wanita.
Gambaran, tohmahan dan fitnah ini dilemparkan dengan harapan dapat menjejaskan imej Salleh yang bersih dan mengubah persepsi pengundi bahawa calon PAS adalah sama sahaja sifatnya dengan calon Umno Rohaizat Othman.
Rohaizat telah dikaitkan dengan skandal menyonglap duit RM160,000 yang diamanahkan melalui firma guamannya oleh Koperasi Pekebun Kecil Getah Pulau Pinang.
Rohaizat dalam kempennya menyalahkan rakan kongsinya Yusri Isahak sebagai orang yang menyebabkan beliau digugurkan kelayakan guamannya.
Umno/BN sesungguhnya sekadar berusaha menafikan majoriti besar PAS pada PRU12 2008 sebanyak lebih 5,000 undi. Umno kelihatan mengubah strategi kempen dengan mempertingkatkan kempen rumah ke rumah. Secara asasnya kempen ini akan menentukan kejayaan Umno.
PAS bagi tempoh lima hari kempen yang lepas ternyata sedikit ketinggalan berbanding dengan jentera Umno/BN. Secara ikhlas jentera Pas kelihatan lemah dan bergerak pada tahap yang tidak agresif. Secara jujurnya PAS ketinggalan daripada segi kempen.
Sehebat ceramah yang diadakan, sehebat itulah kehadiran. Memang jalan raya sekitar Permatang Pasir menjadi sesak. Sesak dengan kenderaan dari segenap pelusuk. Namun kehadiran ramai pada ceramah mungkin tidak mengambarkan keadaan sebenarnya. Ini harus dicurigai dan dibimbangi.
Sedang PAS sibuk dengan ceramah, Umno/Barisan Nasional menyusun langkah lebih bijak dengan mengutus jentera wanitanya menjalankan kempen rumah-ke-rumah. Sayugia disebutkan bahawa malam adalah waktu terbaik penghuni atau pengundi ada di rumah.
Lantaran itu, PAS wajar mengambil iktibar daripada strategi ini dengan mengerahkan segala gerak kerja yang ada untuk memikirkan satu kaedah kempen rumah ka rumah yang lebih berkesan. Kejayaan menganjurkan strategi ini akan memastikan kejayaan besar calon PAS.
Kehadiran pimpinan parti juga semakin kelihatan TGAH hari ini bertemu penduduk dan mengedarkan topeng muka bersama calon di Pasar Ramdahan Kubang Semang, manakala DS Anwar Ibrahim berbuka puasa dan menyampaikan sumbangan fakir miskin di Masjid Pengkalan Tambang.
Ketua Menteri Lim Guan Eng juga turun bersama-sama calon Salleh berjumpa penduduk Tiong Hua di Cross Street Bukit Mertajam. Pada asasnya sokongan pengundi Cina kelihatan masih menyemarak dan tidak berubah.
-
0 comments