PUTRAJAYA: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) memberi amaran akan membatalkan kemenangan calon yang terbukti berkempen pada hari pengundian PRK DUN Permatang Pasir, Ogos ini.
Pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Aziz Mohd. Yusof berkata, mengikut Artikel 48(e) Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954, pihaknya berhak membatalkan kemenangan calon yang terbukti melakukan kesalahan sedemikian.
"Jika sabit kesalahan, calon berkenaan boleh dihukum penjara tidak kurang setahun atau didenda tidak kurang RM2,000," katanya.
Oleh itu, SPR akan menetapkan larangan tidak membenarkan pondok panas dan usaha meraih undi pada hari pengundian. SPR tidak mahu melihat penyokong parti berdiri di kiri kanan jalan di laluan tempat mengundi yang boleh mengganggu mengundi.
SPR juga berharap semua parti politik dan penyokong parti mematuhi Subseksyen 26(1) Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 berkenaan dengan larangan berkempen pada hari mengundi.