PRESIDEN PERSATUAN BOLA SEPAK AMATUR PERAK
Saya, memandang serius kenyataan YB Dato’ Seri Dr Zambry Abdul Kadir yang mendesak saya meletakkan jawatan selaku Presiden PAFA, kerana kononnya kantung PAFA kini kekeringan sehingga menyebabkan gaji pemain bola sepak Perak gagal dibayar mulai Jun 2009. Sebenarnya gaji mereka bagi bulan Jun dan inshaAllah bulan Julai 2009 telah memang dirancang sediakan.
Kenyataan YB Dato Seri Dr. Zambry itu tidak menunjukan sikap professionalisma seorang ketua kerajaan yang prihatin akan masalah rakyatnya. Ia lebih mengambarkan watak yang amat negatif, berdendam dan gagal membezakan kaedah bersukan dan berpolitik.
Ia secara jelas menunjukkan bahawa YB Dato Seri Dr Zambry sekali-kali tidak berfikiran positif untuk membantu tetapi sebaliknya lebih berusaha merosakkan keadaan. Setelah mengemudi PAFA kurang lebih 7 bulan, saya mendapati PAFA banyak tanggungan lapuk sejak beberapa tahun lamanya. Itulah peninggalan saki baki pengurusan lama. Namun pengurusan baru tidak pernah bersungut malah terus menggembeling khidmat bagi menyusun semula PAFA.
Bayangkan ketika ambil alih itu dengan tunggakan gaji pemain-pemain selama lima bulan yang mesti dilangsaikan. Pemain pemain serta pegawai baru telah diambil .Penyata kewangan PAFA terdahulu terdahulu dari itu jelas tertera hutang lapuk yang mencecah sekitar RM3juta. Saya difahamkan ketika itu segala peruntukan tahunan bagi PAFA dari FAM telah didahulukan. Sehinggan peruntukan 2009 juga telah pohon-ambil. Maka bagi 2008 sememangnya FAM tidak menyumbang kerana telah diserah awal terdahulu dari itu.
Semasa menjadi ketua “government of the day”, rakan-rakan exco serta Dato’ Pegawai Kewangan Negeri, tanpa mengira kedudukan siapa yang menerajui PAFA ketika itu, pernah meluluskan dan menghulurkan bantuan negeri sebanyak RM300,000.00 semata-mata untuk membantu masalah kewangan PAFA yang terlalu meruncing sebelum lagi saya mengambil alih menjadi Presiden PAFA. Saya tidak pernah mendesak sesiapapun berundur semasa itu, malahan saya tidak mendesak ditawarkan jawatan Presiden, tetapi ia diputuskan oleh Kongres tahunan PAFA. Saya pikul dengan penuh tanggungjawab dan berhemah. Jauh dilubuk hati saya mahu melihat PAFA bangkit semula dan mengharumkan Perak.
Saya menerima tawaran itu dengan hasrat membantu menyelesaikan masalah kewangan PAFA yang begitu kritikal. Tambahan banyak pihak yang mendorong saya menerima jawatan berkenaan. Akhirnya saya dipilih melalui kongres tahunan PAFA, dan saya menerimanya sebagai tindakan untuk sama-sama berusaha menyuburkan PAFA, terutama dalam sukan bola sepak.
Ramai kenalan rakan dan taulan mula membantu dan menyumbang dalam semua aspek termasuk kewangan dan tajaan yang dapat segera memulihkan PAFA. Sejak itu gaji para pemain dan pegawai dan lain lain perbelanjaan semasa tidak pernah ditangguh. Moral pemain dan pegawai memuncak.
Setelah insiden rampasan kuasa kerajaan pada 6 Feb 2009, suasana agak bertukar. Oleh yang demikian, saya juga memang tidak merancang untuk terus memegang jawatan Presiden PAFA ini, malahan akan berundur apabila tiba waktu yang bersesuaian. Saya juga telah bertemu dengan Setiausaha Agung FAM, Yg Brbhg Dato’ Azudin di pejabat beliau, memaklumkan pendirian, kedudukan, sumber dan kemampuan saya yang terhad daripada segi kewangan untuk membantu PAFA.
Sesungguhnya, saya difahamkan bukan hanya Perak menghadapi masalah kewangan seumpama ini, malahan oleh mana-mana persatuan bola sepak negeri lain memandangkan “gate collection” semasa adalah tersangat rendah. Membentuk sebuah pasukan bola sepak memerlukan masa bukan boleh dibina dalam tempoh enam bulan. Malaysia sendiri masih dalam proses membina pasukan bola sepak yang terbaik.
Saya dimaklumkan bahawa satu pasukan berhasrat menarik diri dan satu lagi pasukan telahpun memohon pendahuluan peruntukan 2010 oleh kerana himpitan kewangan. Sewajarnya jika YB Dato Seri Dr Zambry mahu mendahulukan rakyat, maka inilah masanya membuktikan bantuan kewangan dari kerajaan sekurang-kurangnya menghabiskan tempoh satu sessi sehingga akhir bulan Ogos 2009 nanti.
Ramai diantara pemain baru yang kita rekrut 9 bulan yang lepas kini telah menunjukan mutu permainan yang amat mengkagumkan sehingga beberapa diantara mereka sedang di minati oleh FAM sendiri sebagai berpotensi menjadi pemain kebangsaan. Moral pemain-pemain dan pegawai juga meningkat. Ahli-ahli Kelab penyokong PAFA juga pada akhir-akhir ini cukup bersemangat. Sama-samalah kita majukan PAFA demi kegemilangan Perak.
DATO SERI IR HAJI MOHAMMAD NIZAR JAMALUDDIN