KUALA LUMPUR: BN dinasihati tidak meletak calon untuk bertanding pada pilihan raya kecil DUN Manik Urai sepertimana BN isytiharkan tidak bertanding di Penanti, bagi mengelakkan pembaziran wang rakyat dan malu dengan siri kekalahan pada PRK.
Pengarah Pilihan raya PAS Pusat, Dato' Mustafa Ali memberitahu demikian pada sidang media di Pejabat Agung tengah hari tadi berikutan kematian alhmarhum ADUN Manik Urai, Ismail Yaacob.
Sekalipun BN menyertai PRKl itu dan ditakdirkan menang ia juga tidak memberi apa-apa kesan atau mengubah kerajaan negeri Kelantan, sepertimana di Pulau Pinang, kata beliau.
" Oleh kerana senario BN yang kini berfikir soal duit yang tidak ada dan membazir (jika buat pilihan raya). Saya cadangkan Umno tak payah bertanding pada PRK. Saya yakin BN akan kalah. Duit habis, malu lagi," katanya.
Jelasnya, PAS akan mengikut perlembagaan yang ditetapkan, dengan meletakkan calon pada pilihan raya Dun Manik Urai nanti.
Allahyarham yang lebih dikenali dengan panggilan Paksu Mail menghembuskan nafas terakhir di Hospital Raja Perempuan Zainab (HRPZ) II selepas dirawat sejak 26 April.
Seminggu selepas dimasukkan ke wad beliau dipotong sebelah kakinya memandangkan keadaan penyakitnya semakin menular. Beliau menderita penyakit ghaut sejak kembali dari Makkah setahun lepas.
ALFATIHAH.