Nizar dedah perbincangan dengan Sultan Perak
Sultan Azlan Shah tidak menyebut sebarang peruntukan di bawah perlembagaan negeri itu sewaktu menitahkan Datuk Seri Mohd Nizar Jamaluddin meletakkan jawatan sebagai menteri besar.
Itulah anatara iusu kandungan afidavit yang difailkan oleh menteri besar Pakatan itu di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur semalam.
Beliau memberikan butiran terperinci mengenai apa yang berlaku ketika menghadap Sultan Perak pada 4 dan 5 Februari lalu.
Nizar juga menafikan dan mempertikaikan versi yang dinyatakan oleh penasihat undang-undang Perak, Datuk Ahmad Kamal Md Shahid dalam afidavitnya. Menurutnya, versi Ahmad Kamal tidak menggambarkan kebenaran sepenuhnya.
Dalam afidavitnya untuk menyokong menteri besar BN yang baru dilantik, DS Zambry ak, Ahmad Kamal mengatakan Sultan menyebut tentang perlembagaan (negeri) apabila mengarahkan Nizar meletak jawatan.
Nizar juga mendedahkan bahawa ketika mengadap sultan selama 15 minit pada 5 Februari lalu, beliau telah memberitahu baginda mengenai akibat yang akan timbul sekiranya gagal membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN).
Menurut afidavit tersebut, Nizar berkata ia bermula pada 4 Februari, ketika beliau mengadap baginda Sultan untuk memohon perkenan baginda untuk membubarkan DUN bagi menyelesaikan kemelut politik di Perak berikutan kehilangan tiga ADUN - Mohd Osman Jailu (Changkat Jering), Jamaluddin Mohd Radzi (Behrang) dan Hee Yit Foong (Jelapang) - yang telah "meletak jawatan".
Bagaimanapun, baginda Sultan memberitahu Nizar bahawa baginda akan mengkaji permohonan itu dan menyebut ayat al-Quran "Innallaha maa Sobirin" (sesungguhnya Allah bersama orang-orang yang sabar).
Nizar berkata, beliau menghormati keputusan itu dan sewaktu pertemuan tersebut, beliau juga turut menyerahkan draf pembubaran DUN untuk mendapatkan perkenan baginda.
Bagaimanapun, Nizar menafikan bahawa semasa menghadap baginda Sultan, beliau pernah menyatakan kepada baginda bahawa terdapat kehilangan kepercayaan kepadanya sebagai menteri besar oleh majoriti anggota DUN, dan kerana itu, beliau mahu membubarkan DUN.