PARLIMEN: ABDULLAH DICADANG DIBERI JAWATAN MENTERI KANAN
KUALA LUMPUR, 23 Feb (Bernama) -- Seorang anggota Parlimen mencadangkan agar Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi diberi jawatan Menteri Kanan seperti Lee Kuan Yew di Singapura selepas melepaskan jawatan Presiden Umno dan Perdana Menteri kepada Timbalannya Datuk Seri Najib Tun Razak bulan depan.
Datuk Mohamad Aziz (BN-Sri Gading) berkata langkah itu sesuai kerana jasa Abdullah yang terlalu besar kepada rakyat, negara dan Parlimen sepanjang menjadi pemimpin negara hingga kini.
"Apabila Perdana Menteri kita ini lepaskan jawatan, beliau akan menjadi anggota Parlimen biasa. Jadi kedudukan dia dalam Dewan ini di mana, takkanlah hendak duduk di sebelah Kinabatangan (Datuk Bung Moktar Radin), tidak patut la kan?
"Agaknya boleh tak kita ikut negara jiran bagi beliau kedudukan Menteri Kanan. Pasal Perdana Menteri yang lepas-lepas tidak berhenti di tengah jalan dan tidak bertanding dalam pilihan raya berikutnya," katanya ketika membahaskan usul Menjunjung Kasih Titah Yang di-Pertuan Agong di Dewan Rakyat. - BERNAMA
nota: sama ada berhenti tengah jalan atau tidak, ia bukan menjadi persoalannya. Yang penting kesungguhan untuk berkhidmat. Kalau dilaksanakan, maka bererti Najib akan sentiasa dirundung malang dan kuncu-kuncu dan kroni Pak Lah akan berterusan.
-