-
You Are Here: Home - headline. feature , politics sketsa - UMNO DALAM DILEMA ..TANDA AKAN BERKUBUR
Umno kini terasa bahang pilihan raya umum semakin menggigit diri dan cengkaman kuasa semakin longgar. Jika dikira secara kasar tempoh waktu sekitar enam bulan sahaja lagi untuk mengadakan pilihanraya umum ke-13.
Jika sudah sampai tempoh akhirnya (Mac 2013), Perdana Menteri yang juga Presiden Umno mesti mengadap Yang di-Pertuan Agong untuk memohon dilanjutkan tempoh. Namun sebelum itu perkara itu mesti dibentangkan di Parlimen terlebih dahulu untuk diluluskan.
Jika itu berlaku, maka tercatatlah sejarah sejak Merdeka (55 tahun) untuk pertama kalinya pilihanraya tidak diadakan mengikut waktu sepatutnya. Jika ini berlaku, maka Perdana Menteri mungkin akan menghadapi situasi rakyat akan hilang terus kepercayaan padanya.
Ia juga bakal menimbulkan situasi dalam benak rakyat bahawa tentunya Perdana Menteri mempunyai agenda tersendiri yang cuba dilindunginya. Sehingga ini tanda-tanda PRU 13 nampak berbalam-balam lagi. Ini semua kerana tentunya laporan-laporan siasatan politik dan risikan memberi kenyataan yang tidak memberansangkan atau memihak pada Umno atau BN.
Lihatlah walaupun pelbagai program telah dilaksanakan ia belum cukup untuk menawan hati rakyat. Walaupun pelbagai isu cuba di spin ...ia terus tidak menjadi kerana ternyata kebanyakannya palsu.
Program Umno mendekati rakyat dilihat tidak telus dan gagal mengubah pendirian rakyat daripada terus menyokong Pakatan Rakyat. Gelagat-gelagat tidak sopan terhadap pimpinan Pakatan Rakyat juga semakin menimbulkan simpati rakyat pada PR. Akhirnya semakin hari tembelang semakin pecah.
Pelbagai program berteraskan 1Malaysia seperti Kedai 1Malaysia, Klinik 1Malaysia, dan apajua program lagi (kesemuanya 1Malaysia) serta retorik janji ditepati hanya dilihat oleh rakyat sebagai tidak lebih daripada satu tanggungjawab sosial yang mesti dilaksanakan pemerintah.
"Beri kita ambil, pangkah belum pasti".
Kalangan pimpinan Umno berkata, mereka sendiri kurang yakin bahawa rakyat akan memberi mandat sepenuhnya sepertimana sebelum pilihanraya 2008. Rakyat semakin bijak dan melihat segala geraklaku dan gelagat pimpinan Umno segenap peringkat yang lebih berusaha menjaga kepentingan diri.
Mereka berkata, sedang pimpinan Umno peringkat rendah dan ahli berhempas pulas melaksanakan dasar yang cuba diterapkan parti, kalangan pimpinan tertinggi parti pula terus mengumpul kekayaan.
(Ia sebenarnya memberi gambaran bahawa Pakatan Rakyat bakal mengambil alih Putrajaya)
Ini jelas kelihatan melalui kemewahan kehidupan pucuk pimpinan dan keluarga mereka, kata beliau.
Memang pelbagai program dibuat nampak cantik pada mata kasar dengan membabitkan wang berbilion ringgit untuk menghimpun dan menarik kehadiran rakyat.
Rakyat keluar kerana dijamu makan dan diberi “upah” tetapi ia tidak bererti rakyat akan menyokong Umno atau BN, kata beliau.
"Kami kecewa," katanya ketika diajak berbicara mengenai senario politik hari ini sambil menegaskan kalangan penyokongan Pakatan Rakyat sebahagian besarnya yang hadir pada majlis Umno, sedangkan pada majlis Pakatan Rakyat.., kalangan ahli Umno tidak akan hadir.
Rakyat (khususnya ahli Umno sendiri) sudah boleh membaca rentak, Mereka nampak gaya kepimpinan kalangan pemimpin Umno dan mereka (ahli) juga ingin hidup semewah pemimpinnya. Lalu mereka mendesak untuk sama-sama merasai dan mendapat kek yang sama.
Oleh kerana tidak dapat menikmati sama kek berkenaan, mereka enggan memberi sokongan, tegasnya.
"Sebagai contohnya pimpinan Umno bermula dari Ketua Bahagian sehingga ke peringkat ketua cawangan, ahli jawatankuasa dan ahli hanya tahu menadah tangan untuk merasai “upah” yang sudah menjadi kelaziman dalam merencanakan apa jua program yang dilaksanakan atas arahan peringkat pusat.
Tanpa upah, tiada apa yang bergerak, kata beliau.
Jika menerima "upah" sekalipun ia terlalu kecil kerana sebahagian besar daripada habuan itu sudah dikebaskan oleh peringkat lebih tinggi. Sekalipun tiada diperuntukan upah itu, ahli bawahan tetap percaya bahawa pimpinan utamanya telah ghaibkannya.
Inilah masalah besar yang dihadapi Umno, kata beliau.
Selama ini, tegasnya, pelbagai program dilaksanakan tetapi ia sekadar indah dipandang sahaja kerana rakyat bawahan pada hakikatnya tidak menikmati “jus” sebenarnya kerana segala zat dan vitamin telah diperah pada peringkat lebih tinggi.
Umno memerlukan “vitamin” yang banyak untuk mengerakkan jenteranya kerana sejak sekian lama ia telah menjadi satu amalan memberi upah dalam melaksanakan aktivitinya.
Ada pitih semua jadi ...takdak pitih mampuh kerass Umno.
Penganalisis politik turut berpendapat bahawa ahli Umno kebanyakannya bergantung pada “vitamin” dari pucuk pimpinannya. Setiap kali pilihanraya vitamin ini akan turun mengalir bagai air dan ini melibatkan berbilion ringgit dan kali ini nampaknya ia belum turun-turun.
"Tanpa vitamin yang telah menjadi amalan dan darah daging itu, maka aktivitinya muram dan ranap."
Inilah masalah besar yang dihadapi Umno masakini, kata penganalisis di Pulau Pinang itu sambil menegaskan bahawa sesungguhnya maintainance Umno itu cukup besar.
Inilah yang dibimbangi dan ditakuti oleh Umno kerana perjuangan ahli dan pimpinannya tidak lagi berasaskan keikhlasan sejati dan tema perjuangan yang sudah lari daripada perjuangan asal sehingga kurang diyakini rakyat.
Seorang pemimpin Umno peringkat Bahagian pula berkata, pemimpin dan ahli Umno yang berada di negeri-negeri dikuasai Pakatan Rakyat pula menghadapi suasana yang lebih tertekan.
Banyak keistimewaan yang diperolehi dengan mudah sebelum ini (semasa negeri berkenaan dikuasa BN) telah tidak dapat dinikmati. Banyak sumber kemudahan termasuk kewangan khususnya melalui Jawatankuasa Kerja dan Keselamatan Kampung telah tiada.
Keadaan ini menyebabkan mereka menghadapi kesukaran untuk menabur budi dan memenuhi janji pada penyokong di kawasan masing-masing.
Inilah realiti yang dihadapi Umno hari ini yang kian hari kian terkubur.
0 comments