Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) mendakwa Kementerian Sumber Manusia antara yang bertanggungjawab merosakkan kesatuan sekerja di dalam sesebuah organisasi sehingga menimbulkan pelbagai masalah.
Presiden MTUC, Mohd Khalid Atan berkata, pelbagai masalah sedang menyelubungi pekerja termasuk mereka dihalang untuk berkesatuan.
"Apa sistem perundangan yang ada dalam negara ini? Semua ini perbuatanKementerian Sumber manusia," katanya ketika ditemui di lobi Parlimen.
Ekoran itu, MTUC hilang kepercayaan kepada Menteri Sumber Manusia kerana dia seolah-olah hendak menghapuskan pekerja yang berkesatuan.
"Apabila pekerja dihalang berkesatuan, bukan sahaja merosakkan hubungan pekerja dengan majikan bahkan akan mengundang kemerosotan mutu kerja," kata beliau.
Jelasnya, pekerja yang tidak berkesatuan khususnya dalam sebuah organisasi besar seperti syarikat GLC sudah tentu tiada siapa yang akan membela mereka sekiranya majikan bertindak sewenang-wenangnya terhadap pekerja.
"Kalau kita tengok masalah ini juga berlaku dalam MAS di mana MAS juga mempunya kesatuan dalam masa yang sama ada pula kesatuan lain seolah-olah majikan hendak melaga-lagakan antara pekerja," katanya.
Ini juga katanya terjadi kepada pekerja WestPorts Sdn Bhd ternyata majikannya adalah anti pekerja.
Khalid berkata, kerajaan yang tidak serius terhadap masalah pekerja kerana tidak ada sebarang pindaan terhadap undang supaya lebih adil kepada pekerja dan majikan.
"Malangnya, kerajaan membiarkan majikan yang ada hari ini menyusahkan, sistem penubuhan kesatuan dalam mana-mana syarikat yang memihak kepada mereka, benar pula tubuh union dalam syarikatnya," ujarnya.
Keadaan itu juga, katanya berlaku di dalam syarikat British Tobacco yang di mana kesatuan BATIU yang mewakili 40 tahun pekerja di situ turut dipertikaikan majikannya akhirnya kesatuan itu mati begitu sahaja.
"Inilah masalah besar yang sedang dihadapi oleh kesatuan-kesatuan di dalam sebuah syarikat besar yang mempunyai ribuan pekerja, inilah kerisauan yang menghantui pekerja," jelasnya.
0 comments