
Artis Catrionas Ross Baharin berkata, ada rakan-rakan yang berasal dari sekolah dan kampung yang sama hilang dari sisinya ekoran perubahan yang berlaku kepada dirinya.
Menurutnya, mungkin rakan-rakan yang `hilang’ itu merasa segan dengan perubahan dirinya yang tidak sesuai dengan mereka dari segi berpakaian, pemikiran dan percakapan.
“Saya maafkan mereka,” ujarnya pada Forum Dhuha yang diadakan di Surau al-Hidayah, Seksyen 7, Kota Damansara pagi tadi. Turut menjadi panel ialah Ustaz Yusof Embong.
Meskipun begitu, beliau merasakan perubahan yang berlaku kepadanya sekarang disukai ramai manusia.
Justeru, artis kelahiran Kelantan itu merasa lebih selesa dan sangat bahagia dengan suasana yang dilalui kini.
“Saya sangat-sangat bahagia sekarang, tak sibuk dengan shooting,” ujarnya lagi.
Katanya, situasi yang dilalui itu dapat memberi peluang kepada orang ramai supaya memahami perubahan yang berlaku kepadanya.
Sehubungan itu, ujarnya ada di kalangan masyarakat yang menggelarnya ustazah dan beliau berdoa agar dapat menjadi pendidik selaras dengan gelaran itu.
Catriona juga merasa lebih selesa dengan memenuhi jemputan menyampaikan ceramah motivasi di institusi pengajian tinggi dan syarikat swasta.
Baginya, perubahan yang berlaku kepadanya itu telah mengembalikan beliau kepada fitrah manusia.
“Saya bersyukur kepada Allah, hidup saya berubah dalam sekelip mata,” katanya.
Beliau menambah, apa yang berlaku itu juga telah mengangkat darjat dirinya dan memberi kekuatan bagi menjalani kehidupan sekarang
Presiden Perkasa Datuk Ibrahim Ali semakin dekat bau pilihanraya semakin merapu-rapu.
Beliau mahu kerajaan membina kem tentera di kawasan Parlimen yang diwakilinya iaitu Pasir Mas, kononnya sebagai benteng pertahanan dengan sempadan Thailand di samping untuk meningkatkan pengundi 'mesra BN' di situ.
"Jika satu batalion pun, itu ramai pengundi tu. Serampang dua mata. Binalah sekarang untuk menjamin keselamatan negara. Sediakan payung sebelum hujan," katanya ketika membahaskan peruntukan Kementerian Pertahanan di peringkat jawatankuasa Rang Undang-undang Bajet 2011 di Dewan Rakyat.
Ibrahim berhujah bahawa Kem Briged Kelapan di Desa Pahlawan, Kok Lanas di Kelantan, tidak terletak di tempat yang betul.
"Ancaman sebenarnya di sempadan dengan Thailand. Di mana Pasir Mas bertemu Rantau Panjang. Di situlah berlakunya penyeludupan, dengan dadahnya," katanya.
Beliau bertanya sama ada kementerian berkenaan mempunyai rancangan untuk memindahkan kem tersebut atau membina satu lagi di kawasan pilihan rayanya, dengan peringatan tersirat kepada kerajaan persekutuan bahawa satu batalion tentera akan bermakna sejumlah besar pengundi dari kalangan anggota tentera untuk BN .
Pakatan Rakyat telah menyuarakan kebimbangan mengenai penyalahgunaan undi pos oleh pengundi di kalangan anggota tentera dan pasangan mereka untuk meningkatkan sokongan kepada BN.
Ibrahim juga menggesa supaya pangkalan kecil Tentera Laut Diraja Malaysia di tempatkan di Kelantan, yang berdepan dengan Laut
China Selatan, dan antara lain, berdepan dengan masalah pelarian Vietnam.
"Bila Jepun takluk kita dulu, mereka datang dari Kelantan, naik kat pantai di Kota Bharu...Tapi hari ini di Kelantan tak ada pertanahan."
Sehubungan itu, Ibrahim menggesa Kementerian Pertahanan menggunakan kapal selam Scorpene bagi meredakan modal politik PAS, yang konsisten mengkritik pembeliannya.
"Hantar satu kapal selam Scorpene ke Kelantan. Saya jamin yang beribu orang akan keluar tengok. Dan jika boleh biar saya bagi syarahan dari atas kapal Scorpene. Untuk bagi penerangan umum."
"Mereka telah selalu dengar PAS berceramah, yang Scorpene ini harganya berbillion dan tak boleh nak selam pun.
"Menteri Besar pun boleh tengok... kemungkinan serban pun boleh terbang bila tengok scorpene ni."
Usahawan dan dermawan hendaklah sentiasa bersikap terbuka untuk membantu orang ramai yang ditimpa musibah, kata Timbalan Pengerusi Majlis Agama Islam Pulau Pinang Dato Haji Salleh Man.
Beliau berkata, sikap seumpama ini amat digalakkan kerana ia dapat membantu meringankan bebanan dan kedukaan yang menimpa mangsa-mangsa.
Apabila berlaku musibah, semua pihak tanpa mengira bangsa dan agama hendaklah bersedia untuk membantu kerana kejadian mala petaka akan melanda tanpa mengenal sesiapa, katanya ketika berucap pada majlis menyampaikan bantuan banjir kepada 105 mangsa ribut di Pinang Tunggal, dekat Kepala Batas.
Dalam kejadian baru-baru ini, rumah-rumah mangsa mengalami pelbagai kerosakan. Bagaimanapun 36 buah daripada rumah berkenaan yang mengalami kerosakan teruk telahpun diperbaiki.
T.27, sebuah kereta berkuasa elektrik terkecil yang memenangi The Future Car Challenge anjuran The Royal Automobile Club (RAC). Kereta kecil ini menamatkan perlumbaan 57.13 batu antara Brighton dan London dengan menguna tenaga paling sedikit.
Dengan dua penumpang, T.27 mengguna hanya 7 kilowatt tenaga elektrik sahaja
Hari Raya AdilAdha 1432H sudahpun beberapa hari berlalu dan begitu jugalah majlis-majlis kurban, yang kebanyakannya melibatkan lembu dan kambing di Malaysia.
Punbegitu Majlis Kurban Perdana (mai kita... gotong royong) anjuran MTD PAS Trong, Perak adalah yang boleh disifatkan sebagai yang paling gemilang dan berkesan dalam menyampaikan motifnya.
 |
| Ustaz Norazli Musa |
Sebanyak 33 ekor lembu dan 3 ekor kambing hasil sumbangan derma orang ramai dijadikan korban pada hari raya Aidiladha kedua. Sebanyak 15 ekor daripada lembu itu adalah sumbangan beberapa individu dari Kuala Lumpur.
Menurut Pengarah TD Trong Haji Mustapha Abdul Wahab, individu berkenaan mengumpul derma dari sahabat-sahabat di Kuala Lumpur dan menyerahkan dana itu untuk majlis berkenaan.
 |
| Nizar memakaikan Kemeja-T sempena majlis itu pada Pak Andak |
Lembu-lembu berkenaan disembelih di dua lokasi berhampiran dan kemudian diangkut ke lokasi untuk pembahgian dan pengagihan di Markas Trong Sungai Tinggi, katanya.
Majlis berkenaan bermula seawal 7 pagi dan sempurna diselesaikan pada jam 1 tengahari, katanya sambil menegaskan bahawa sebanyak 4,000 uncang seberat 2 kilogram tiap satu berjaya diagihkan kepada penduduk sekitar Trong.
"Sesetengah penduduk datang mengambilnya di tempat pengagihan daging korban itu, manakala sebahagiannya diedarkan rumah ke rumah oleh jentera pengedaran," kata beliau.
Mantan Menteri Besar Perak Datuk Seri Haji Mohammad Nizar Jamaluddin yang turut hadir pada majlis itu berharap ia akan dapat diadakan dari masa ke semasa.
Selain itu, Ahli Jawatankuasa PAS Pusat Ustaz Idris Ahmad dan Ketua Penerangan Dewan Ulama Pas Perak Ustaz Norazli Musa yang merupakan calon PAS PRU-12 turut hadir.
Norazli yang disebut-sebut akan bertanding di kawasan DUN Trong pada PRU13 berpuas hati dengan konsep dan sistem yang dilaksanakan dalam Kurban Perdana itu.
 |
| gotong royong melapah |
Beliau turut berhasrat melaksanakan konsep sekurang-kurangnya satu rumah satu kurban (satu bahagian daripada tujuh bahagian) di Dun Trong itu pada masa akan datang.
Sambil mengucapkan terima kasih pada semua penderma, beliau berkata majlis itu telah dapat merapatkan perhubungan dan meningkatkan keharmonian antara penduduk setempat kerana terbukti ia merentasi halangan perbezaan politik.
 |
| Sebanyak 4,000 uncang diedarkan |
Joe frazier 1944-2011JOE Frazier, bekas juara heavyweight yang dikenali kerana pertarungan epik dengan Muhammad Ali, meninggal dunia semalam, kerana mengidap kanser.
Beliau berusia 67 tahun.
Ikon tinju itu dikenali kerana bertarung dengan Ali pada 1970 menerusi tiga pertarungan epik termasuk satu yang dikenali sebagai “Thrilla in Manila.”
Beliau dirawat di rumah selepas dikesan mengalami kanser hati di peringkat tinggi beberapa minggu lalu hingga meragut nyawanya, kata.
Frazier, yang digelar ‘Smokin’ Joe’, meraih dua gelaran utama heavyweight dan berjaya menewaskan ramai peninju termasuk Ali, George Foreman, Jerry Quarry, Joe Bugner, Oscar Bonavena dan George Chuvalo.
Frazier mewarnai zaman kegemilangan tinju kategori heavyweight pada 1970-an. Beliau menamatkan kariernya dengan 32 kemenangan (27 knockout), empat kekalahan dan satu seri.
Frazier adalah peninju pertama menewaskan Ali, dengan pertarungan 15 pusingan pada 1971 di Madison Square Garden, yang digelar ‘Pertarungan Abad Itu’.
Frazier dan Ali kemudiannya bertarung dua kali lagi. Ali memenangi pertarungan 12 pusingan pada 1974 juga di Garden dan melengkapkan trilogi pertarungan itu dengan kemenangan “Thrilla in Manila” pada 1975 dengan menewaskan Frazier selepas 14 pusingan.
Jurulatih Frazier, Eddie Futch masuk untuk menghentikan pertarungan ganas itu selepas pusingan ke-14. Futch menahan Frazier yang tidak boleh bangun tetapi masih mahu meneruskan pertarungan di pusingan ke-15.
Frazier memenangi gelaran heavyweight Majlis Tinju Dunia (WBC) dan Persatuan Tinju Dunia (WBA) pada 1970 selepas menewaskan Jimmy Ellis pada pusingan kelima di Madison Square Garden.
Beliau mempertahankan gelaran itu empat kali sebelum berdepan dengan Foreman t pada 1973. Frazier kehilangan gelaran heavyweight apabila dia tumbang enam kali dalam dua pusingan oleh Foreman di Kingston, Jamaica pada 1973.
Dalam pertarungan kedua pada 1976, ‘hook’ kiri Foreman yang begitu kuat menyebabkan Frazier terangkat. Perlawanan itu dihentikan pada pusingan kelima selepas Frazier tumbang dua kali.
Operasi membawa jemaah haji Malaysia dari Mekah ke Arafah, kira-kira 21 kilometer dari sini, tamat pada kira-kira pukul 5 pagi ini (10 pagi waktu Malaysia), dan semua 28,000 jemaah haji sudah berada di Arafah untuk berwukuf pada Sabtu.
Bagi ibadah wukuf, jemaah perlu berada di Arafah paling lewat tengah hari ini (Zohor, pukul 12.05 waktu tempatan, 5.05 petang waktu Malaysia) dan kemudiannya berangkat ke Muzdalifah selepas waktu Maghrib untuk mengutip batu-batu kecil bagi tujuan melontar jamrat di Mina pada 11, 12 dan 13 Zulhijjah.
Pengarah Operasi Masyaer (operasi ibadah para jemaah di Arafah dan Mina)Shaharuddin Abu Bakar ketika ditemui kumpulan media Tabung Haji lewat petang semalam berkata kira-kira 500 petugas Tabung Haji, termasuk pasukan kebajikan dan perubatan, sudah berada di Arafah bagi melicinkan pergerakan jemaah haji di Arafah.
Beliau berkata operasi pergerakan dibahagikan kepada lima sektor dengan setiap sektor ditugaskan memantau bas-bas yang membawa jemaah haji dari Mekah ke Arafah.
"Pagi Sabtu, sektor Arafah mengambil alih pengurusan jemaah, dengan segala maklumat diselaraskan dengan Pusat Maklumat Operasi di Mekah," katanya di sini.
Menurutnya pagi Sabtu, satu kumpulan awal 40 petugas Tabung Haji digerakkan ke Muzdalifah untuk meninjau dan membuat persiapan menerima ketibaan jemaah haji dari Malaysia selepas Maghrib, dan seterusnya mereka juga akan meninjau persiapan di Mina.
Shaharuddin berkata selain itu pasukan pandu arah juga sudah ditempatkan di lokasi-lokasi strategik bagi memastikan tiada jemaah haji Malaysia yang tersasar dari khemah penginapan masing-masing.
Beliau berkata apa yang penting ialah segala aspek kebajikan dan keselamatan para jemaah sentiasa terjamin.
Malam tadi turut menyaksikan ketibaan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom menyertai kumpulaan jemaah haji dari Malaysia di Arafah.
Tahun ini dianggarkan 3 juta jemaah dari seluruh pelusuk dunia menunaikan ibadah haji, dan lautan manusia berpakaian ihram atau bertelekung putih sudah membanjiri kawasan Arafah di sini, menanti penuh sabar waktu berwukuf tengah hari ini. - BERNAMA
PAS menegaskan sokongan parti itu terhadap Datuk S Ambiga hanyalah terhadap isu yang dibawanya terutama mengenai tuntutan Bersih baru-baru ini, tetapi bukanlah sokongan ke atas batang tubuhnya.
Oleh itu, PAS tetap tidak bersetuju malah menentang keras pendirian Ambiga terhadap hak asasi manusia yang diperjuangkannya mengenai seksualiti termasuk sokongannya terhadap program Seksualiti Merdeka yang dianjurkan oleh pihak-pihak terbabit baru-baru ini.
Ahli Parlimen Kota Raja, Dr Siti Mariah Mahmud (gambar) berkata, perkara itu perlu difahami oleh kesemua pihak dan tidak sepatutnya disalah anggap sejajar dengan dasar perjuangan PAS sejak ditubuhkan untuk menegakkan Islam di tanah air.
"Dalam hubungan ini, saya sememangnya bersetuju dengan kenyataan dan pendirian Dewan Ulamak PAS yang menentang penganjuran Pesta Seksualiti Merdeka dan sebarang aktiviti seks luar tabie melibatkan lesbian dan gay," katanya.
Beliau menjelaskan demikian ketika menjawab pertanyaan kontroversi Ahli Parlimen Kulim Bandar Bharu (Bebas), Zulkifli Noordin mengenai sokongan PAS ke atas Ambiga, sedangkan Ambiga jelas menyokong Pesta Seksualiti Merdeka atas alasan hak asasi manusia.
Menjawab pertanyaan yang dikemukakan oleh Zulkifli ketika mencelah ucapannya pada persidangan Dewan Rakyat hari ini, beliau berkata, sejak dulu sokongan PAS terhadap seseorang bergantung kepada isu, bukan ke atas batang tubuh seseorang dan ia tidak terkecuali dengan Ambiga.
Menurutnya, sokongan PAS dalam isu Bersih yang dibawa oleh Ambiga sesuai dengan tuntutannya yang selaras dengan perjuangan PAS, tetapi dalam isu seksualiti yang membawa sokongan Ambiga terhadap Pesta Seksualiti Merdeka berbeza sama sekali.
"Dalam isu Pesta Seksualiti Merdeka, PAS tidak menyokong Ambiga kerana isu tersebut ternyata bertentangan dengan perjuangan PAS," tegasnya yang juga AJK PAS Pusat.
Sebelum itu, beliau menjelaskan, dalam perkara perjuangan hak asasi manusia oleh pihak-pihak terbabit, ada perkara yang diterima oleh PAS dan ada pula yang ditolak oleh parti itu.
Ekoran pelbagai aduan diterima, Polis mengisytiharkan pengharaman semua aktiviti penganjur 'Seksualiti Merdeka', demikian diumumkan Timbalan Ketua inspektor-polis Khalid Abu Bakar pada satu sidang akhbar di Sungai Besi.
Sehubungan itu Khalid berkata, polis akan mengambil tindakan terhadap program yang akan dijadualkan pada 9 hingga 13 November. Tindakan itu menurut Khalid dibuat atas tanggungjawab pihak keselamatan untuk mengekalkan ketenteraman awam.
Program yang dikenali sebagai Seksualiti Merdeka 2011 dengan temanya Queer Without Fear akan berlangsung sehingga 13 Nov 2011 di The Annaxe Gallery.
Program itu kononnya berteraskan perjuangan hak asasi, menuntut hak dan kebebasan golongan lesbian, gay, biseksual dan transeksual untuk mengamalkan gaya hidup pilihan mereka secara sah dan terbuka.
Banyak pihak berpandangan, ianya sama sekali tidak sesuai dengan kehidupan masyarakat di Malaysia apatah lagi sangat bertentangan dengan ajaran agama Islam.
Ianya juga adalah festival tahunan yang meraikan hak asasi manusia rakyat yang terdiri daripada pelbagai orientasi seksual dan identiti jantina.
Ia dianjurkan oleh sekumpulan gabungan longgar NGO, artis, aktivis dan individu sejak 2008.
"Polis akan mengambil tindakan di bawah Seksyen 27 A (1) (C) dan juga 298 A kta Polis untuk menghalang sebarang penganjuran majlis itu," katanya.
Beliau berkata undang-undang di negara ini tidak mengiktiraf kegiatan ongsang yang boleh menghancurkan kehidupan beragama di negara ini.
"Polis menerima banyak bantahan dari pihak Badan Bukan Kerajaan termasuk badan Agama Islam dan bukan Islam yang bimbang majlis ini akan menimbulkan suasana tidak harmoni, perasaan permusuhan serta mengganggu ketenteraman awam," katanya.
Sikap pilih kasih Pendaftar Pertubuhan (ROS) yang tidak meluluskan penubuhan Pakatan Rakyat tetapi memberi layanan istimewa kepada parti Kesejahteran Insan Tanah Air (Kita) sedangkan proses permohonan kedua-duanya datang dari individu sama – Datuk Zaid Ibrahim, dipersoal.
Mencelah pada sidang Dewan Negeri Undangan (DUN) Selangor, Mohamed Azmin Ali (KEADILAN-Bukit Antarabangsa), berkata permohonan menubuhkan Pakatan Rakyat dihantar dua tahun dulu tapi tidak diluluskan ROS sehingga kini.
Beliau yang juga Timbalan Presiden KEADILAN dan Ahli Parlimen Gombak, sebaliknya berkata ROS meluluskan permohonan parti Kesejahteran Insan Tanah Air (Kita) hanya dalam masa seminggu.
“Parti Kita, hantar seminggu terus lulus. Tapi kami(Pakatan Rakyat) sudah dua tahun hantar, sehingga sekarang masih tidak diluluskan lagi. ROS tidak berlaku adil dalam meluluskan permohonan itu kerana mengikut telunjuk Umno.
“Sepatutnya Sungai Pelek jangan tanya kami. Tanya kerajaan kerana asal melibatkan Pakatan, semuanya tidak dilayan,” katanya ketika membidas Yap Ee Wah (BN-Sungai Pelek) yang mengeluarkan kenyataan Pakatan Rakyat tidak sah daripada segi undang-undang.
Ee Wah berbuat demikian ketika mencelah perbahasan Ng Suee Lim (DAP-Sekinchan) yang membahas prestasi Selangor lantaran menunjukkan prestasi mengkagumkan sejak Pakatan Rakyat mengambil alih negeri ini.
Untuk rekod, proses permohonan penubuhan Pakatan Rakyat dijalankan Zaid atas kapasiti Penyelaras Pakatan Rakyat bersama beberapa pemimpin parti gabungan, ketika beliau masih dalam KEADILAN. Selepas keluar parti, Zaid kemudian menubuhkan parti Kita.

Pakatan Rakyat menafikan kenyataan Pendaftar Pertubuhan (ROS) bahawa gabungan itu tidak membuat permohonan baru bagi mendaftarkan ia sebagai sebuah entiti.
Setiausaha Agung KEADILAN, Saifuddin Nasution berkata, sehingga kini ROS tidak membuat keputusan mengenai permohonan Pakatan yang dibuat sejak dua tahun lalu.
Beliau memetik Kenyataan Ketua Pengarah Pendaftar Pertubuhan (ROS), Datuk Abdul Rahman Osman kononnya pakatan rakyat tidak berusaha berbuat demikian.
“Mengapa Pengarah ROS boleh berkata begitu sedangkan permohonan lama belum ada keputusan,” katanya dalam sidang media hari ini.
Saifudin berkata, selepas Datuk Zaid Ibrahim keluar parti, jawatan beliau selaku Pengerusi Sekretariat untuk mengurus permohonan itu terbatal sebagaimana termaktub dalam perlembagaan pakatan.
“Kalau ROS kata dengan keluarnya Datuk Zaid, maka kena buat permohonan baru, sepatutnya permohonan lama direspon dengan mengeluarkan satu surat rasmi.
“Persoalannya sehingga kini kami tiada menerima apa-apa daripada ROS samada perlu membuat permohonan baru atau tidak,” katanya.
Saifudin turut memberitahu Ahli Parlimen Tumpat, Datuk Kamarudin Jaafar dilantik bagi menggantikan Zaid sejak Mac 2011.
“Sejak Mac 2011 setiap tiga hingga 4 minggu kami mengadakan pertemuan dengan pihak ROS termasuk menghantar 6 salinan meliputi undang-undang tubuh, logo, surat permohonan dan bayaran sebanyak RM30,”
“Oleh itu, majlis presiden pakatan yang bermesyuarat semalam menetapkan untuk menanti kenyataan terbaru dari pengarah ROS hasil sidang media yang kami buat hari ini sebelum membuat keputusan selepas itu,” katanya.
Sementara itu, Ahli Parlimen Rasah, Loke Siew Fook yang juga Setiausaha Agong Sekretariat itu sejak dua tahun lalu menyifatkan tindakan ros itu berat sebelah.
“Semasa Zaid mohon pendaftaran Pakatan dan masih ahli PKR, Ros enggan lulus tetapi Ros luluskan pula pendaftaran parti KITA pimpinan Zaid dalam masa 2 minggu sahaja, ternyata keputusan Ros terhadap permohonan kami bersifat politik,” katanya.
Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim yakin Pakatan Rakyat akan mengambil alih pentadbiran kerajaan di Putrajaya pada Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.
Bercakap dalam satu temubual dengan agensi berita antarabangsa Bloomberg, Anwar menjangka kemenangan Pakatan pada PRU 13 itu sebagai ‘kebangkitan Malaysia’.

“Melihat pada kadar kami sedang bergerak sekarang, kami akan mengambil alih kerajaan,” kata beliau dalam temu bual dipetik agensi berita itu hari ini.
Anwar memberitahu Bloomberg Pakatan bakal memperoleh lebih 40 peratus undi di kubu-kubu kuat BN termasuk di Johor dan Pahang, serta memperoleh kembali majoriti di lima negeri yang dimenangi pada 2008.
Selain itu beliau juga yakin Pakatan akan mencatatkan kedudukan lebih baik di Negeri Sembilan dan Terengganu.
“Trend ke arah kebebasan dan demokrasi tidak boleh dielak. Kita sepatutnya boleh melakukan lebih baik (kali ini),” kata Anwar yang juga Ketua Umum KEADILAN.
Menurut Anwar, kebangkitan kuasa rakyat di Timur tengah kini sedang mara di Asia Tenggara menyaksikan perubahan politik di negara seperti Singapura dan Myanmar.
“Ketika negara-negara Timur Tengah berhadapan dengan Kebangkitan Arab, negara jiran Singapura menyaksikan rekod peralihan undi kepada pembangkang pada Mei (lalu), dan Myanmar membebaskan beberapa pesaing politik dari penjara bulan lalu,”
“Bila akan ada Kebangkitan Malaysia? (Ketika) pilihan raya umum akan datang,” kata Anwar.
Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak menafikan konon anak perempuannya berada di Australia semasa beliau menghadiri mesyuarat ketua-ketua kerajaan Komanwel (CHOGM) di Perth, baru-baru ini.
Orang ramai sepatutnya tidak terpedaya atau terbabit menyebarkan pembohongan, katanya."Jangan percaya atau sebar pembohongan. Malah, anak perempuan saya tidak berada di Australia dan isteri saya (Datin Seri Rosmah Mansor) tidak membeli apapun barang kemas," kata Najib dalam Twitter terbarunya yang dipetik Bernama.Awal minggu ini, laporan berita di The West Australian, mendakwa anak gadis perdana menteri membelanjakan A$60,000 (RM195,000) semasa membeli-belah di David Jones, antara gedung terbesar di Australia.Berita itu kemudiannya dipetik oleh para penulis blog pembangkang dan akhbar web rasmi PKR, Keadilandaily.
Selain itu, laporan bertajuk ‘Delegates go shopping and sightseeing’ atau 'Perwakilan membeli-belah dan bersiar-siar' juga dimuatkan di banyak laman Facebook.Akhbar Australia itu melaporkan bahawa peniaga membuat keuntungan yang besar apabila seorang wanita pertama yang tidak dinamakan membelanjakan A$150,000 (RM487,000) membeli mutiara Australia Barat, manakala 'anak gadis Najib' membelanjakan A$60,000.Ia memetik pengarah negeri bagi CHOGM Richard Muirhead sebagai berkata bahawa aktiviti masa lapang dan ekspedisi membeli-belah berkenaan diatur untuk perwakilan asing di luar jadual mesyuarat CHOGM yang ketat itu.Najib dan Rosmah kini sedang mengerjakan ibadat haji di tanah suci.
Sepuluh ahli kerabat Raja Perak memberi amaran kepada Raja Ahmad Nasir Raja Abdullah Azizi supaya menghentikan tindakannya memfitnah dan mencemar nama Sultan Perak, Sultan Azlan Shah dan Raja Bergelar dalam usahanya menuntut satu daripada jawatan Raja Bergelar itu.
Raja Omar Ikram Raja Abdullah yang bertindak sebagai jurucakap kumpulan itu berkata, perbuatan Raja Ahmad Nasir itu di dalam blog dan terbaru menjelajah ke daerah termasuk menyampaikan "titah" atau "perutusan" umpama dirinya seorang raja kepada rakyat, bukan saja mencemar nama baik Sultan Perak malah memalukan kerabat.
Beliau mendakwa antara kenyataan dibuat Raja Ahmad Nasir termasuk memberi gambaran sultan hanya seorang anak angkat.
Raja Omar Ikram berkata demikian pada sidang media di sini.