Selangor menawarkan stadium negeri untuk digunakan penganjur himpunan Bersih 2.0.
Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata, sekirannya penganjur Bersih 2.0 memohon untuk menggunakan stadium- stadium di Shah Alam, beliau akan meluluskannya tertakluk pada syarat.
"Sekiranya NGO Bersih meminta kebenaran untuk menggunakan Stadium Shah Alam, saya akan setuju. Bagaimanapun perhimpunan itu perlulah dilakukan dengan penuh tatatertib serta berdisiplin," ujar Khalid.
Khalid berkata, perhimpunan Bersih harus disokong oleh rakyat kerana ia bertujuan memastikan pengundi berpeluang memilih kerajaan yang terbaik menerusi pemilihan yang bebas daripada penipuan dan pembohongan.
"Secara peribadinya saya berpendapat, usaha Bersih adalah untuk memastikan pilihan raya di negara ini diadakan dengan adil dan bersih. Perhimpunan ini diadakan bukan untuk diri saya, tetapi untuk anak cucu saya pada masa akan datang. Golongan muda juga pastinya mahu tuntutan seperti itu dilaksanakan," kata beliau.
Bersih 2.0 telah menerima perkenan mengadap Yang di Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin dan akur dengan nasihat Seri Paduka supaya perhimpunan aman pada 9 Julai ditukar ke stadium.
-
0 comments